Kuantan: Penyerang yang pertama kali diberi kepercayaan mengisi kesebelasan utama pada saingan Pestabola Merdeka, Rozaimi Abdul Rahman membalas keyakinan jurulatih dengan meledak dua gol ketika menewaskan Thailand 3-0 di Stadium Darulmakur, Kuantan, malam tadi.

Namun, pada masa sama penyerang kelahiran Sabah itu mengakui posisinya masih belum selamat memandangkan saingan cukup sengit di bahagian itu.
“Saya gembira dapat menjaringkan dua gol malam ini (tadi), sekurang-kurangnya saya dapat membalas kepercayaan jurulatih ke atas saya,” kata Rozaimi.


Tiada nasib

"Bagaimanapun saya rasa sepatutnya lebih banyak gol dapat dihasilkan berdasarkan peluang yang ada, tetapi mungkin nasib tidak menyebelahi saya.

"Kini saya harap dapat diberi kepercayaan sekali lagi untuk menggalas tugas di bahagian depan pada perlawanan final nanti. Saya berjanji akan memastikan persembahan saya lebih baik berbanding hari ini (malam tadi).”

Bagi jurulatih skuad bawah 23 negara, Ong Kim Swee, dua gol jaringan Rozaimi membuktikan sentuhannya di depan gawang masih berbisa, tetapi dia hanya menilai pemain dari peratus keseluruhan sumbangannya di atas padang.
"Belum ada pemain yang benar-benar pasti akan mengisi skuad utama Sukan SEA nanti. Setiap orang perlu terus berusaha meningkatkan prestasi mereka sekiranya mahu terpilih," katanya.