|
STATUS sebagai selebriti bukan platform mudah bagi pelakon Fizo Omar
untuk mencairkan hati anak kepada pemilik tudung Fareeda iaitu Mawar
Abdul Karim.
Akui Fizo atau nama sebenarnya Wan Hafizol Wan Omar, 28, Mawar
seorang yang sangat komited pada kerja dan dia juga tidak seperti
kebanyakan wanita yang senang didekati.
"Susah sebenarnya hendak dekat dengan dia (Mawar). Walaupun status
saya sebagai artis. Dia sangat tegas dan komited pada kerjanya,"
ungkapnya tatkala disoal bagaimana hubungan mereka terjalin.
Bicara Fizo lanjut, pada dasarnya mereka berjumpa atas dasar kerja
tanpa melibatkan perasaan, namun akhirnya hati lelaki Fizo mulai terpaut
pada Mawar selepas melihat kesungguhan dan kebijaksanaan wanita itu
menguruskan perniagaan ibunya.
Fizo juga mengakui, dia yang memulakan langkah pertama mendapatkan nombor telefon Mawar dan menghubungi wanita itu.
"Saya kagum melihat dia menguruskan perniagaan ibunya. Dia bukan jual
mahal masa mula-mula saya ingin mendekatinya tetapi dia terlalu komited
terhadap kerjanya," ujar Fizo ketika ditemui pada majlis memperkenalkan
80 koleksi eksklusif tudung Fareeda pelbagai warna, corak dan
kerongsang di ibu pejabat Fareeda di Bandar Baru Bangi, Selangor
baru-baru ini.
|
Bersedia mental & fizikal
Selepas mengenali Mawar pada tahun lalu dan mendapat restu daripada
ibunya, Hasnah Jidin, dia tidak menunggu lama dan terus merisik wanita
itu pada 28 Ogos lalu.
Pada usianya yang sudah mencecah 28 tahun Fizo juga mendedahkan, dia
sudah mencapai sasarannya dalam membuka perniagaan dan juga melaksanakan
tanggungjawabnya kepada keluarga.
Dia sudah bersedia dari segi mental dan fizikal untuk melangkah ke fasa seterusnya iaitu perkahwinan.
"Sasaran saya sudah tercapai pada usia 28 tahun. Kini, saya bersedia
pula dari segi mental dan fizikal mencari calon yang sesuai untuk
dijadikan isteri. Pada masa yang sama, saya berjumpa dengan Mawar. Saya
terpikat padanya," luah Fizo yang bakal mengikat tali pertunangan dengan
Mawar pada Oktober depan.
Tidak mahu bertunang lama dan merancang untuk berkahwin pada
penghujung tahun ini, ujar Fizo, kalau ikutkan, dia tidak mahu bertunang
dan terus melangsungkan perkahwinan.
Begitupun, dia sekadar mengikut adat dan syarat untuk mengikat tali pertunangan biarpun hanya sekejap.
Terbit drama
Berkongsi mengenai perniagaan Hot Burger miliknya, kata Fizo, setakat
ini dia mempunyai hampir 30 cawangan Hot Burger di sekitar Lembah Klang
dan merancang untuk menambah 20 cawangan di Kelantan dan juga 30
cawangan di Johor Bahru.
Disoal sama ada dia bakal meninggalkan dunia lakonan kerana sibuk
menguruskan perniagaan, akui Fizo, dia masih lagi berlakon, cuma
mengurangkan aktiviti lakonannya demi memberi tumpuan pada perniagaan
dan penerbitan drama yang baru diceburinya.
"Saya tidak akan tinggalkan bidang lakonan tetapi terpaksa memilih
tawaran dan watak yang datang. Bukan apa, penghujung tahun ini buat
pertama kalinya saya akan menerbit sebuah drama bersiri untuk RTM.
Sebelum ini, saya pernah menerbitkan video korporat untuk kerajaan,"
jelasnya.
Mengulas lanjut, kata Fizo, dia juga masih menjadi pengacara untuk program Nasi Lemak Kopi O di TV9 dan juga memberi taklimat kepada pelajar-pelajar sekolah dan universiti.
|
Ibu punca Mawar terima Fizo
PERTEMUAN dengan anak pemilik tudung Fareeda, Mawar Abdul Karim, 24,
dan bakal tunangnya Fizo di majlis memperkenalkan 80 koleksi eksklusif
tudung Fareeda di ibu pejabat Fareeda di Bangi, Selangor membuatkan
Kosmo! ingin menyatukannya mereka untuk hiasan muka depan Hab-Hib.
Bagaimanapun, Mawar menolak secara baik gambarnya dan Fizo dirakam secara berdua.
Katanya, tidak manis gambarnya dirakam sebelum dia dan Fizo mempunyai ikatan yang sah.
Akur dengan permintaannya itu, Mawar diajukan soalan apakah kriteria Fizo yang membuatkan hatinya terpaut.
Ungkap Mawar, kesungguhan Fizo pada kerja dan juga restu keluarganya membuatkan hatinya dibuka untuk pelakon itu.
"Saya tidak memandangnya sebagai artis tetapi melihat pada cara dia
berniaga. Dia bersungguh dalam kerjanya. Pada masa yang sama, ibu
merestui hubungan kami," ujarnya yang malu-malu mengulas lebih lanjut
mengenai hubungannya dengan Fizo.
Akui Mawar, secara jujur dia pada mulanya agak takut mendekati Fizo
kerana statusnya sebagai selebriti tetapi ibunya, Faridah Zakaria
melembutkan hatinya untuk menerima Fizo.
Jelas Mawar, ibu memintanya jangan terlalu garang dan tegas terhadap
Fizo kerana dia berasakan lelaki itu bersungguh ingin mengenalinya lebih
dekat.
“Saya tidak pernah ada hubungan yang serius sebelum ini. Mama yang
banyak nasihat saya supaya tidak terlalu garang dan dia juga melembutkan
hati saya untuk menerima Fizo,” dedah Mawar.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan