|
TATKALA mengenang insiden kemalangan jalan raya pada Ahad lalu,
kelopak mata Nabila Huda Suhaimi pantas digenangi air mata. Ingatannya
segera menerpa pada pukul 3.30 petang bertarikh 8 September lalu.
Ditahan-tahan suaranya. Namun, dia tidak lokek berkongsi keadaan
sebenar.
Seingatnya, dia terlelap dalam perjalanan pulang tatkala kenderaannya
melintasi Kilometer 71 Lebuh Raya Pantai Timur arah Kuantan menghala ke
Kuala Lumpur. Sewaktu matanya terbuka, dia nampak buah hatinya, Keisha
Laila sedang lelap di belakang. Dia menoleh ke depan semula, selepas
melihat aktor Syazwan Zulkifly memandu tenang di sebelahnya dalam
keadaan hujan lebat sehingga pandangan menjadi kabur.
Tidak sampai beberapa saat, kenderaan jenis Mitsubishi Triton milik
Syazwan melelong lantaran jalan licin sebelum terbalik beberapa kali dan
berhenti. Dalam keadaan pening, Nabila menoleh ke belakang, mencari
Keisha yang hilang daripada pandangan. Dia menjerit-jerit nama puterinya
itu seraya menyuruh Syazwan keluar dari tingkap kereta yang sudah
mengiring. Kaca bertaburan di sana sini.
Syazwan menyelinap dari tingkap dan gagal mengesan Keisha, Nabila
bergegas naik tanpa selipar. Kakinya seakan-akan tidak terasa bahawa dia
sebenarnya sudah memijak kaca yang bertaburan. Matanya terpandang ke
arah tubuh Keisha di atas jalan, beberapa meter di belakangnya. Keisha
sedang cuba bangun daripada pembaringan dalam hujan yang masih lebat.
Berlarilah ibu ke arah anaknya. Memeluk Keisha yang basah kuyup
lantas bertanya "Keisha OK?" Anak kecil yang ternyata masih bingung itu
merengek menyatakan dia OK namun anak kecil itu masih terasa sakit.
Itu momen yang jelas di mata Nabila ketika dia merangkul Keisha dalam
kebasahan dan anaknya masih tabah untuk cuba bangun ketika dia
terbaring selepas tercampak keluar dari kereta.
Dia kemudian dibawa ke Hospital Bentong, Pahang atas jasa baik sebuah famili yang kebetulan melalui lebuh raya yang sama.
"Semasa di hospital, saya tenangkan Keisha. Dia seperti dalam
kebingungan. Saya pujuk dia supaya tidak menangis kerana dia anak yang
tabah. Dia menurut kata saya. Namun ketika dia mendengar jeritan saya
semasa luka di kaki saya sedang dicuci, dia berteriak. Dia tahu saya
berada dalam kesakitan. Dia seperti turut merasainya. Itulah Keisha,
permata hati saya," air mata Nabila Huda bergenang mengingatkan anak
yang ketika ini berada dalam jagaan bekas suaminya.
|
Dihukum masyarakat
"Sebagai ibu, saya bersyukur kami selamat. Kalau terjadi apa-apa pada
Keisha, saya sanggup mati. Saya tidak boleh bayangkan dan pasti saya
gila. Syukur, umur kami panjang. Dia adalah kekuatan saya dan dia juga
dapat kekuatan daripada saya," ujarnya tidak putus-putus bersyukur.
Kisah kemalangan Nabila dan anaknya itu mendapat sorotan ramai. Ramai
yang sentiasa mahu tahu keadaan terkininya. Tak kurang juga yang
meninjau akaun-akaun Twitter orang yang ada dan yang pernah hadir dalam
hidup Nabila Huda.
Ada yang mempersoalkan kenapa Nabila membawa anaknya ke tempat kerja.
Jawapan Nabila atau mesra dipanggil Abil mudah dan tepat. Dia mahu
menghabiskan masa bersama anaknya dan kebetulan semasa Keisha di bawah
jagaannya, dia perlu ke Kuatan, Pahang atas tugasan.
"Pertanyaan itu timbul kerana berlakunya kemalangan itu. Selama ini,
memang Abil bawa Keisha ke mana-mana, itu masa berkualiti Abil
dengannya. Bagi Abil, bawa anak ke tempat kerja tidak salah," luahnya
yang menghadapi sedikit komplikasi di bahagian belakang tubuhnya.
Bukan sekali Abil membawa Keisha ke daerah tugasannya. Semua
peristiwa itu dapat disaksikan melalui akaun Instagram Abil yang penuh
dengan gambar permata hatinya. Bagi Abil, Keisha memahami kerjayanya
sebagai pelakon dan tidak pernah membuat kerenah sewaktu di set
penggambaran. Lagipun 99 peratus masa Abil habis di lokasi.
"Keisha gemar melihat saya berlakon. Kalau dia melihat saya
melakonkan watak sedih, dibuatnya muka sedih. Kalau cemas, dia turut
cemas. Dia sentiasa bertanyakan keadaan saya selepas setiap adegan. Dia
mahu pastikan mummy OK," senyum Abil mengingatkan keletah Keisha yang
persis dirinya.
"Buat Keisha, saya inilah idola dirinya. Mahu bersolek, berpakaian,
gaya rambut semuanya persis saya. Saya adalah segalanya-galanya buat
dia. Keisha juga pemerhati kerja-kerja saya sebagai pelakon," tambah
Abil.
|
Mahu difikirkan sedih akan cakap-cakap umum terhadap dirinya sebagai
anak seni, dia seperti sudah kebas. Kata Abil, dia tahu ada manusia yang
hanya sudi melihat keburukan orang. Itu sudah menjadi lumrah.
Kredibiliti dirinya sebagai ibu juga jadi tanda tanya umum.
"Saya membawa diri saya sebagai seorang ibu sewaktu bersama Keisha.
Saya tidak perlu menunjuk-nunjuk depan orang. Pada waktu lapang, kami
memang menghabiskan masa bersama-sama. Saya dan Keisha sangat loving.
Kami selalu berpelukan dan memberikan ayat-ayat cinta. Makan, minum,
tidur dan mandi bersama. Perlukah saya tunjuk semua itu kerana itu
memang normal sebagai ibu?" tanyanya yang berasa kehairanan.
"Orang biasa (di luar industri) mungkin tidak faham. Mereka pertikai
pelbagai perkara. Sebaliknya, mereka tidak nampak susah senang saya.
Banyak yang saya simpan sendiri. Malah, saya melayari hidup saya secara
sendirian," keluhnya berbau kesal.
Mahu bahagia
Abil mengaku, dia seorang yang degil dan banyak mendengar kata
hatinya sendiri. Namun, dia juga mengaku bukanlah semua perkara yang
dilakukannya terlihat jahat.
"Umur saya 29 tahun dan saya bukannya tidak berjaya. Saya berusaha
sendiri atas keringat dan bakat saya. Tanggungjawab saya terhadap diri
dan anak, saya laksanakan dengan baik. Umum juga boleh lihat perjalanan
saya sebagai pelakon. Semuanya saya lakukan dengan bakat dan kudrat
sendiri. Saya berjaya dengan lakonan saya. Justeru, bila ada pertikaian
tentang diri saya, apa lagi yang mereka lihat dan mahukan?" tanya Abil
lagi tanpa saya jawab.
Jauh di benak hatinya dia mahukan kebahagiaan. Katanya dia mahu
menjalani kehidupan bersama-sama anak dengan aura gembira dan sederhana.
Hidupnya seperti ibu lain, normal dan penuh tanggungjawab.
Ketika ditanya topik umum tentang Abil masih tidak berubah, dia
menjawab dengan tenang. Dia tahu perubahan yang dipersoalkan itu
berdasarkan pandangan terhadap gaya hidupnya yang tidak pernah
disorokkan melalui gambar-gambarnya di Instagram. Dia mungkin dilihat
bebas atau liar pada pandangan mata sesetengah orang.
"Perubahan saya tidak perlu saya uar-uar atau tunjukkan. Saya
lakukannya dengan hati saya sendiri. Saya mengaku saya sudah agak
perlahan dengan gaya hidup di luar kerana saya banyak bekerja,"
senyumnya manis tetapi nipis.
Buat Abil, hidup sendiri tidaklah sesuatu yang sukar kerana dia terbiasa dengan situasi itu.
Termenung jauh dia seketika sebelum temu ramah yang ditemani Niesa
Khalil, sang pengurusnya berakhir. Menarik nafas, dia kemudian
mengangguk dan bercakap dalam nada separuh berbisik: "Ada hikmah di
sebalik semua kejadian."
Sebelum dia pulang, penulis bertanyakan traumanya. Dia mengangguk,
air matanya mengalir: "Bila saya bersendirian, ingatkan balik momen di
mana Keisha tiada di tempat duduk kereta selepas kemalangan, saya jadi
trauma. Momen itu menakutkan saya."
Tiada ulasan:
Catat Ulasan