SELEPAS lebih setahun nama Pablo Aimar dikaitkan dengan pasukan Johor
Darul Takzim (Johor DT), akhirnya bekas pemain kebangsaan Argentina itu
kini sah menjadi milik skuad Harimau Selatan.
Semalam, pemain berusia 34 tahun itu menandatangani kontrak selama
lima tahun bersama Johor DT dalam satu majlis ringkas di Stadium Tan Sri
Hassan Yunos, Larkin dengan disaksikan Presiden Persatuan Bola Sepak
Negeri Johor (PBNJ) Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Idris Sultan
Ibrahim.
Pada majlis sama, Aimar turut diperkenalkan secara rasmi kepada pemberita dan ratusan penyokong setia Johor DT.
Menurut Tunku Ismail, dalam perjanjian tersebut, Aimar akan beraksi
bersama skuad Harimau Selatan selama dua tahun manakala baki tiga tahun
lagi digunakan untuk membantu pembangunan bola sepak di negeri ini.
“Aimar adalah pemain hebat dan sangat berbakat. Dengan pengalaman dan
bakat yang dia ada, saya harap dia dapat membantu skuad Johor DT dalam
saingan Liga Malaysia musim hadapan.
“Dengan adanya Aimar, dia menjadi pelengkap kepada pasukan ini. Dia
juga akan menjadi sebahagian akademi skuad remaja di sini,” titah
baginda pada sidang akhbar semalam.
Tunku Ismail bagaimanapun enggan mendedahkan nilai kontrak pemain
terbabit namun menjelaskan, Aimar akan menyarung jersi No. 10 untuk
musim hadapan.
Dalam pada itu, Aimar mengakui dia bangga kerana dapat menyertai
Johor DT yang dianggap sebuah pasukan yang sedang meningkat naik.
“Saya mempunyai pengalaman indah di Malaysia terutama di Johor.
Tambahan pula, PBNJ telah membuat tawaran yang sukar untuk saya tolak.
“Saya dapat melibatkan diri dalam ruang yang lebih besar iaitu
sebagai pemain dan juga untuk membantu pembangunan bola sepak di negeri
ini,” katanya.
Aimar pernah beraksi di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin ketika
mewakili Argentina pada Piala Dunia Remaja 1997 dan menyumbat gol
kemenangan ketika menewaskan England 2-1 pada pusingan kalah mati.
Argentina muncul juara kejohanan itu. Dia juga pernah beraksi pada Piala Dunia FIFA pada 2002 dan 2006.
Dia yang pernah menjadi antara pemain muda terbaik Argentina,
memulakan kariernya bersama River Plate pada tahun 1995 sebelum
menyertai Valencia pada 2001-2006, Real Zaragoza (2006-2008) dan Benfica
pada tahun 2008.
Bagi saingan musim hadapan, Aimar bakal bergandingan dengan seorang
lagi pemain import baharu Johor DT, Braulio Nobrega Rodriguez dari
Sepanyol yang terlebih dahulu mengikat kontrak bersama PBNJ bulan lepas.
Johor DT juga bakal memiliki pengurus dan ketua jurulatih baharu
musim hadapan selepas berjaya mendapatkan khidmat Cesar Ferrando
Jimenez.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan