London: Roy Hodgson mengakui berdepan dilema selepas pengurus England itu dilanda krisis di jentera serangan susulan kemenangan 4-0 menewaskan Moldova dalam perlawanan kelayakan Piala Dunia, awal pagi semalam.

Kemenangan itu meletakkan Three Lions mendahului kelayakan Eropah saingan Kumpulan H dengan perbezaan gol di atas Montenegro selepas mengatasi skuad kendalian Ion Caras di Wembley, tetapi kejayaan itu terpaksa dibayar dengan mahal.
Ini kerana Hodgson akan hilang khidmat penyerang Manchester United, Danny Welbeck yang meledak dua gol ketika berkunjung ke Ukraine - lawan yang hanya ketinggalan satu mata - dalam pertembungan Selasa ini, selepas mengutip kad kuning kedua dalam perlawanan awal pagi semalam.


Berang dengan pengadil

Dengan Wayne Rooney dan Andy Carroll tidak dapat turut serta kerana cedera dan Daniel Sturridge bakal terlepas aksi berikutan masalah paha, sekali gus Hodgson hanya memiliki Ricky Lambert dan Jermain Defoe yang masih cergas untuk menjana jentera serangan.

Lambert sekurang-kurangnya beraksi baik apabila mencetak gol buat kali kedua pada penampilan keduanya dalam perlawanan antarabangsa menerusi tandukan pada babak pertama, tetapi Hodgson jelas berang dengan pengadil yang melayangkan kad kuning kepada Welbeck pada babak pertama.

Pemain berumur 22 tahun itu dilayangkan kad kuning kerana melakukan cubaan gol selepas wisel dibunyikan akibat ofsaid dan Hodgson menyifatkan pengadil Slovakia, Ivan Kruzliak melayangkan kad dengan pantas.
“Saya tidak rasa ramai, atau di kalangan pengadil, yang mengatakan ia adalah kad kuning yang jelas,” kata Hodgson.
AFP