BUCHAREST - Chelsea bertekad untuk memulihkan reputasi pada aksi
kedua Kumpulan E kempen Liga Juara-Juara menentang Steaua Bucharest di
Stadionul Ghencea, Romania awal pagi esok.
Chelsea perlu bangkit selepas dikejutkan dengan kekalahan 1-2 kepada FC Basel pada aksi di Stamford Bridge, 18 September lalu.
Kini, skuad The Blues terdesak untuk menewaskan Bucharest bagi
meletakkan kembali pasukan itu di landasan yang tepat untuk meneruskan
kemaraan di pentas Liga Juara-Juara.
Selain itu, anak-anak buah Jose Mourinho juga perlu menewaskan Schalke 04 pada 22 Oktober depan.
Chelsea melakar sejarah tersendiri musim lalu apabila menjadi juara bertahan pertama yang tersingkir di peringkat kumpulan.
Mourinho berkata, aksi menentang Bucharest sangat penting dan mereka tidak boleh tewas demi kebaikan pasukan itu.
"Seri bukan satu keputusan baik buat kami. Jadi, kami perlu bersiap sedia daripada sekarang.
"Kami perlu mengutip 12 mata untuk mengelak daripada mengalami
insiden yang tidak diingini berlaku. Jadi, jika kami tewas di sana
(Bucharest), kami masih memiliki empat perlawanan.
"Jadi, kami harus mengutip 12 mata untuk baki perlawanan tersebut dan
sudah tentu saya tidak mahu meletakkan tekanan kepada pasukan saya
(sekiranya tewas)," katanya.
Chelsea masih dibayangi memori hitam selepas skuad The Blues tewas 0-1 pada kali terakhir mereka berkunjung ke Bucharest pada aksi Liga Europa.
Begitupun, mereka kembali menebus kekalahan itu dengan merakamkan
kemenangan secara agregat 3-1 pada aksi kalah mati Liga Europa pada Mac
lalu.
- AFP
Tiada ulasan:
Catat Ulasan