Selasa, 17 September 2013

Fellaini akui bergelut sejak tiba di Old Trafford


MANCHESTER - Pemain tengah Belgium, Marouane Fellaini mendedahkan, dia mengalami kesukaran untuk menyesuaikan diri dengan pasukan baharunya, Manchester United, namun perkara tersebut tidak akan menghalangnya daripada terus berada di Old Trafford. 

Bekas bintang Everton itu menyertai United selepas menandatangani kontrak pada hari terakhir pasaran perpindahan pemain ditutup, 11 September lalu. 

Kehadirannya ke Old Trafford menimbulkan kemarahan penyokong Red Devils yang merasakan Fellaini tidak cukup bagus untuk menyarung jersi pasukan. 

Pemain antarabangsa Belgium itu diberi tepukan ketika membuat penampilan sulung buat United dalam perlawanan menentang Crystal Palace, Sabtu lalu, namun dia masih belum mampu meyakinkan mereka yang sering meragui kemampuannya. 

"Saya menghadapi masalah dengan intensiti latihan Manchester United kerana saya bermain dengan ramai pemain yang hebat. 

"Ia lebih cepat daripada apa yang saya lakukan di Everton selama ini, namun saya tetap gembira berada di sini.

"Saya sukakan permainan bola sepak dan kerana itu saya bersemangat untuk bermain," kata Fellaini.
Di United, sesi latihan biasanya dimulakan dengan para pemain melakukan hantaran sesama sendiri dalam satu bulatan. Bulatan ini dibahagikan kepada dua kumpulan mengikut hierarki.

Bulatan pertama akan diketuai oleh pengurus pasukan, David Moyes. 

Dia akan dikelilingi oleh pemain-pemain utama yang menerima gaji tertinggi dan merupakan bintang pasukan. Biasanya, Moyes akan berlatih bersama Wayne Rooney, Robin van Persie, Michael Carrick, Ryan Giggs, Rio Ferdinand, Nemanja Vidic, Nani, Ashley Young serta Tom Cleverley.

Fellaini, 25, yang tiba ke Old Trafford dengan bayaran 27.5 juta pound (RM142.27 juta) hanya diletakkan dalam kumpulan kedua bersama pemain seperti Alex Buttner, Anderson, Chris Smalling, kembar Da Silva, Javier Hernandez, Wilfried Zaha, Anderson, Jonny Evans dan Antonio Valencia kerana kesukarannya menyesuaikan diri dengan kepantasan pemain-pemain utama. 

Kumpulan ini, diketuai oleh jurulatih pasukan utama, Phil Neville. 

Biarpun menyedari kesukaran pemain kesayangannya itu untuk menyesuaikan diri dengan rakan-rakan baharu di Old Trafford, namun Moyes tetap yakin bahawa Fellaini mampu membuktikan kehebatannya jika diberi sedikit masa. 

"Dia ada potensi untuk menjadi pemain yang hebat. Saya sentiasa menganggap bahawa dia antara pemain terbaik Belgium dan negara itu mempunyai sebuah pasukan yang bagus kerana kehadiran pemain-pemain sepertinya.

"Harap, dia dapat membantu kami melakar keputusan lebih bagus, namun untuk membolehkan pemain-pemain ini menyerlahkan kemampuan sebenar, mereka harus diberi kebebasan di atas padang. Marouane adalah pemain yang cukup baik untuk pasukan dan saya rasa dia juga masih muda serta mempunyai banyak masa untuk meningkat. 

"Kalau kita beri dia sedikit masa dan ruang, saya percaya dia akan menjadi pemain Manchester United sebenar. Dia pasti dapat memberi sumbangan besar kepada pasukan," kata Moyes. - AGENSI

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan