LONDON - Jurulatih England, Roy Hodgson menegaskan, skuad The Three Lions
tidak memandang rendah kemampuan Moldova pada aksi Kumpulan H kelayakan
Piala Dunia 2014 Zon Eropah di Stadium Wembley, Sabtu ini.
Hodgson melaungkan amaran itu selepas England membelasah Moldova 5-0
di Chisinau pada aksi pembukaan kempen kelayakan bagi Zon Eropah, 12
bulan lalu.
Berdasarkan rekod itu, Moldova pasti bertuah jika mereka berjaya
mencuri satu mata di Stadium Wembley sebelum mengutip mata penuh apabila
berhadapan dengan pasukan lemah, San Marino.
Moldova juga perlu mengutip tiga mata penuh pada aksi menentang
Ukraine dan Poland selain perlu mengelak daripada mengalami kekalahan
kepada England.
"Moldova tewas kepada Montenegro hasil jaringan pada minit-minit
terakhir. Jika tidak, sudah pastinya laluan mereka akan menjadi lebih
mudah.
"Saya tidak rasa bahawa saya perlu memberi amaran kepada para pemain.
Saya juga tidak terfikir bahawa saya tidak berpuas hati dengan corak
permainan kami setakat ini.
"Jika saya merasakan ada sesuatu yang tidak kena dalam pasukan, saya
akan mengambil tindakan segera untuk menanganinya," jelas Hodgson.
Dalam pada itu, dua tonggak Manchester United, Wayne Rooney dan Phil
Jones serta pemain pertahanan Liverpool, Glen Johnson telah menarik diri
daripada aksi tersebut kerana kecederaan.
Hodgson bertindak untuk memanggil pemain pertahanan Cardiff City, Steven Caulker.
Penyerang Liverpool, Daniel Sturridge dan pemain tengah Arsenal, Jack
Wilshere dilaporkan tidak turut serta pada sesi latihan pasukan itu
kelmarin.
Sturridge mengalami kekejangan otot paha baru-baru ini, manakala
Wilshere dikeluarkan pada separuh masa pertama ketika Arsenal menewaskan
Tottenham Hotspur pada aksi Liga Perdana England, Ahad lalu.
Bagaimanapun, kedua-dua pemain itu tetap akan disenaraikan dalam skuad The Three Lions pada aksi menentang Moldova dan Ukraine di Kiev pada 10 September ini. - Agensi
Tiada ulasan:
Catat Ulasan