Rabu, 18 September 2013

Penyokong Johor cetus kekecohan



SEBAHAGIAN penyokong Johor berkumpul di hadapan bilik persalinan pemain

di Stadium Perbandaran Pasir Gudang malam kelmarin.


HAMPIR 2,000 penyokong setia Johor membuat kecoh di pekarangan Stadium Perbandaran Pasir Gudang kerana kecewa dan tidak berpuas hati dengan keputusan seri antara Johor dan Sime Darby pada saingan Kumpulan A kempen Piala Malaysia malam kelmarin.

Difahamkan, kekecohan tersebut timbul kerana penyokong Johor beranggapan keputusan seri tersebut telah diatur memandangkan ia telah tersebar menerusi laman sosial Facebook sejak seminggu yang lalu.

Pengurus Johor, Onn Jabbar berkata, perkara itu menjadi serius kerana secara kebetulan keputusan perlawanan kelmarin sama dengan dakwaan yang terdapat dalam laman sosial tersebut.

"Sebenarnya mereka (penyokong) tidak berpuas hati dengan beberapa pemain Johor kerana menganggap perkara itu sudah dirancang dan mendakwa mereka tertipu apabila secara kebetulan keputusan pada perlawanan itu sama seperti dalam dakwaan tersebut," katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Onn bagaimanapun menafikan terdapat unsur-unsur mengatur perlawanan atau bookie yang melibatkan para pemainnya.

Katanya, penyokong hanya bertindak melulu dan mempercayai dakwaan tersebut tanpa memaklumkan perkara tersebut kepada pihak pengurusan pasukan.

"Sepatutnya mereka memberitahu kepada pihak pengurusan kerana antara kami sudah mengenali dan perkara itu boleh disiasat dengan lebih terperinci," katanya.

Onn turut memaklumkan, disebabkan kejadian itu, pihak pengurusan membawa beberapa pemain dan jurulatih bersemuka dengan penyokong bagi menyelesaikannya.

Justeru, katanya, pihak pengurusan akan menjalankan siasatan bagi mencari punca isu tersebut yang mencetuskan kecoh selama satu jam sejurus perlawanan tamat.

"Kita pun tidak mengenali siapa bookie yang dimaksudkan itu," katanya.
Onn turut menasihatkan para penyokong Johor agar tidak bertindak secara melulu dan menganggap apa yang berlaku kelmarin amat merugikan pasukan.

"Penyokong sepatutnya memberikan peluang kepada pemain sehingga tamat perlawanan dan tidak membuat provokasi yang akhirnya memberi kelebihan pasukan lawan," katanya.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan