"SAFEE (Mohd. Sali) masih memiliki kontrak bersama Arema Indonesia sehingga Februari tahun depan.
"Jika dia tidak lagi diperlukan Johor Darul Takzim (Johor DT),
mana-mana pasukan yang berminat perlu berurusan dengan Arema Indonesia
terlebih dahulu sebelum mendapatkan khidmat Safee."
Demikian jelas pengurus peribadi Safee, Zakaria Ab Rahim ketika
mengulas khabar angin berhubung masa depan penyerang sensasi negara itu
selepas ini.
Ketika ini, polemik mula tercetus apabila Safee dikatakan bakal menyertai pasukan Liga Premier, Johor musim depan.
Ia ekoran kehadiran dua penyerang import, Pablo Aimar serta bekas
penyerang Atletico Madrid, Braulio Nobrega Rodriguez yang menyertai
Johor DT baru-baru ini.
Selain faktor usia, krisis kecederaan yang sering membelenggu Safee
juga dikatakan antara faktor khidmat penyerang itu tidak lagi diperlukan
Johor DT yang berjaya mendapatkannya menerusi pinjaman daripada Arema
Indonesia (dahulunya dikenali sebagai Pelita Jaya) awal musim ini.
Mengakui tidak tahu-menahu berhubung spekulasi berkenaan, Zakaria
sebaliknya menasihatkan mana-mana pasukan yang berminat melamar Safee
supaya menghubungi pihak pengurusan Arema Indonesia terlebih dahulu.
"Tempoh pinjaman Safee bersama Johor DT akan berakhir pada November
depan, jadi persoalan sama ada Safee akan kembali beraksi di Indonesia
mahupun menyertai mana-mana pasukan lain di Malaysia hanya boleh
diketahui selepas itu jika khidmatnya tidak lagi diperlukan Johor DT,"
jelas Zakaria kepada Kosmo! semalam.
Mengulas lanjut, Zakaria mengakui bersedia untuk kembali menguruskan
karier Safee sekiranya penyerang itu berhasrat untuk kembali beraksi di
Indonesia.
"Terserah kepada Safee, sama ada mahu kembali beraksi di Indonesia
atau pun menyertai pasukan lain, saya tidak berhak menjawab soalan itu.
"Cuma jika dia mahu kembali ke Indonesia, saya bersedia membantu semula menguruskan karier Safee," jelas beliau.
Safee, 29, yang memulakan kariernya bersama pasukan Kuala Lumpur,
Sarawak dan Selangor kemudiannya berhijrah ke Arema Indonesia pada 5
Februari 2011 sebelum muncul penjaring terbanyak kelab itu dengan 20 gol
musim lalu.
Sebaik kontraknya tamat pada 31 Januari 2012, Safee telah
menandatangani kontrak lanjutan bernilai lebih RM2 juta bersama kelab
Indonesia itu sebelum disunting Johor DT menerusi pinjaman awal musim
ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Arema Indonesia, Iwan Budianto sebelum ini
juga menegaskan bahawa pihaknya tidak akan menjual Safee sebelum
kontraknya tamat.
Sebaliknya jelas Iwan, penghijrahan Safee ke Johor DT hanyalah bagi
memberikan lebih peluang kepada pemain muda Arema Indonesia supaya
beraksi lebih kerap dalam mana-mana perlawanan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan