Ahad, 15 September 2013

'Harimau Muda memang ada kelas'



HARIMAU Muda memang berhak bergelar juara selepas mempamerkan aksi konsisnten sepanjang Pestabola Merdeka 2013 yang berakhir di Kuantan kelmarin.


SKUAD Harimau Muda sememangnya tampil pada Pestabola Merdeka 2013 ini dengan perwatakan selaku juara.

Demikian tegas pengurus pasukan Myanmar, Tin Myint Aung selepas menyaksikan pasukannya tewas 0-2 kepada Malaysia pada perlawanan akhir yang disaksikan lebih 35,000 penyokong di Stadium Darul Makmur Kuantan, Pahang malam kelmarin.

Kata Myint Aung, mereka tewas kepada sebuah pasukan yang hebat serta menampilkan aksi konsisten sepanjang kejohanan edisi ke-41 ini.
"Kami menerima kekalahan ini dengan hati yang terbuka. Kami tewas kepada sebuah pasukan yang sangat sempurna.
"Dalam aksi final tadi (kelmarin), jentera serangan kami gagal membuat penyudahan sempurna walaupun bahagian tengah telah berfungsi agak baik.

"Bagaimanapun, kekalahan ini tidak sesekali mematahkan semangat juang para pemain kami malah kami akan bangkit dalam saingan Sukan SEA di negara kami Disember nanti.

"Saya melihat kekuatan utama pasukan Malaysia adalah keutuhan benteng pertahanan mereka ditambah dengan taktikal yang sangat menarik.

"Apa pun, saya mengucapkan tahniah kepada skuad Malaysia kerana muncul juara Pestabola Merdeka ini dan semoga kita akan berjumpa lagi di di Sukan SEA Myanmar nanti," katanya.

Secara keseluruhan, Myint Aung merumuskan bahawa beliau berpuas hati dengan persembahan para pemain mudanya pada kejohanan ini namun masih banyak perkara yang perlu digilap sekembalinya mereka ke Myanmar nanti.

Kata pengurus yang meminati corak permainan pemain sayap Harimau Muda, Syahrul Azwari Ibrahim itu, seperti negara-negara lain yang menjadi tuan rumah sesuatu kejohanan besar, pastinya tekanan memihak kepada mereka untuk menampilkan permainan berkualiti dan paling penting untuk keluar sebagai juara.

"Oleh itu, dalam tempoh beberapa bulan yang tinggal ini, kami akan memperkemaskan segala kelonggaran serta akan sentiasa berusaha mempertingkatkan prestasi dari semasa ke semasa.

"Pada awal bulan depan kami akan terbang ke Korea Selatan dan Jepun untuk mengadakan beberapa siri perlawanan persahabatan dengan kelab-kelab di sana dan selepas itu kami akan mempersiapkan diri sepenuhnya sebelum Sukan SEA bermula," kata Myint Aung.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan