MADRID - Real Madrid dijangka memperoleh petunjuk pertama dalam misi
memburu trofi ke-10 pada kempen Liga Juara-Juara awal pagi esok.
Bagaimanapun, kemampuan sebenar skuad The Galaticos akan diuji
Galatasaray pada aksi pembuka tirai Kumpulan B di Telekom Arena, Turki
itu.
Real telah membelanjakan lebih 600 juta euro (RM2.6 bilion) bagi
memburu beberapa pemain terkemuka dunia sejak lima tahun lalu termasuk
mendapatkan Gareth Bale dengan yuran perpindahan sebanyak 100 juta euro
(RM436.8 juta) pada hari terakhir musim perpindahan pemain awal
September lalu.
Selain itu, penyerang sensasi, Cristiano Ronaldo yang dibeli dengan
harga 94 juta euro (RM413.4 juta) daripada Manchester United pada 2009
bersetuju untuk kekal di Stadium Santiago Bernabeu sehingga 2018 selepas
menandatangani kontrak selama lima tahun kelmarin.
Pemain sayap Wales itu menjaringkan gol sulung bersama Real, manakala
Ronaldo meledakkan gol yang ke-203 ketika seri 2-2 dengan Villarreal
pada aksi Liga Sepanyol kelmarin.
Kali terakhir Real menjulang trofi Liga Juara-Juara adalah pada musim 2002.
Namun, skuad kendalian Carlo Ancelotti masih belum mempamerkan karakter sebenar.
Pada aksi menentang Villarreal, Ancelotti turut mengetepikan kapten,
Iker Casillas apabila kekal menaruh kepercayaan kepada penjaga gol
kedua, Diego Lopez.
"Saya telah membuat keputusan berhubung polisi penggiliran pemain.
"Casillas dan Lopez sudah mengetahui perkara itu, jadi tiada masalah," kata Ancelotti.
Skrip yang sama juga menimpa rakan sejawatan Ancelotti, Fatih Terim
apabila anak-anak buahnya sekadar seri 1-1 dengan Antalyaspor minggu
lalu.
"Kami tidak suka keciciran mata tetapi aksi berdepan Real sesuatu yang berbeza.
"Beraksi di depan penyokong sendiri pastinya memberikan kelebihan buat kami," kata Terim.
Terim dijangka kekal menaruh kepercayaan terhadap gandingan Didier
Drogba dan Burak Yilmaz mengemudi jentera serangan pada aksi menentang
Real. - Reuters
Tiada ulasan:
Catat Ulasan