KELANTAN bertekad untuk menewaskan Terengganu pada aksi kelima
Kumpulan C kempen Piala Malaysia 2013 di Stadium Sultan Ismail
Nasiruddin Shah malam ini.
Kemenangan sangat penting dalam usaha mencerahkan peluang untuk menempatkan diri ke kelompok lapan pasukan terbaik.
Bagaimanapun, pengendali skuad The Red Warriors, Bojan Hodak
menyedari bahawa laluan yang terpaksa ditempuh pasukan itu bukan mudah
kerana Terengganu juga mahukan kemenangan untuk membuka semula peluang
selain memastikan maruah mereka tidak tercalar di laman sendiri.
Hodak berkata, pada hakikatnya perlawanan malam ini bukanlah misi
hidup dan mati, namun kemenangan sudah pasti meningkatkan moral para
pemain selain memberi sedikit kelegaan sebelum melayan kunjungan Pahang
pada perlawanan terakhir peringkat kumpulan.
"Kami akan lakukan yang terbaik. Saya melihat tidak ada tekanan untuk
kami beraksi di Kuala Terengganu kerana kami pernah bermain dua kali
dan mencatat kemenangan musim ini. Cuma, saingannya sudah pasti akan
sengit.
"Saya mengharapkan keputusan yang baik dan berpihak kepada kami, ia
lebih menjamin tempat kami di suku akhir. Perlawanan terakhir menentang
Pahang juga bukanlah suatu yang mudah, kami perlu mengambil kesempatan
itu biarpun beraksi di tempat lawan," katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Tambahnya, Terengganu merupakan sebuah pasukan yang hebat dengan
dibarisi beberapa pemain yang cukup bagus iaitu trio penggempur mereka,
Ashaari Samsudin, Manaf Mamat dan bintang import, Jean Emmanuel Effa
Owona.
Katanya, mereka mampu untuk menumbangkan mana-mana pasukan lawan
khususnya apabila beraksi di hadapan penyokong sendiri dan barisan
pertahanan Kelantan perlu lebih peka serta bekerja lebih keras untuk
mengekang asakan pemain lain.
"Saya tidak mahu apa yang berlaku pada saingan Piala FA lalu
berulang, kami hampir tumbang biarpun ke sana (Kuala Terengganu) dengan
bekalan selesa. Mereka mampu melakukannya. Jika kami memandang rendah
kemampuan mereka, ini bermakna kami dalam bahaya.
"Dengan kepulangan dua pemain kami iaitu Shakir Shaari dan Ahmad
Fakri Saarania daripada tugasan bersama Harimau Malaya, saya fikir kami
punya cukup pemain untuk berdepan Terengganu. Khidmat kedua-dua mereka
amat ditagih dan saya harap pemain-pemain lain juga turun dengan
matlamat untuk mencari kemenangan," ujarnya.
Dalam pada itu, sedikit berita yang meresahkan peminat Kelantan
apabila pertahanan kental, Nik Shahrul Azim Abdul Halim terpaksa
disisihkan daripada kesebelasan utama apabila mengalami kecederaan
ketika membantu Harimau Muda merangkul trofi Pestabola Merdeka 2013,
Ahad lalu.
"Nik Shahrul mengalami kecederaan lutut dan mungkin terpaksa
direhatkan dua atau tiga minggu. Situasi tersebut tidak begitu
membimbangkan saya kerana kami masih ada pemain seperti Daudsu
Jamaludin, Obinna Nwaneri dan Azizi Mat Rose untuk mengisi posisi
tersebut.
"Saya juga gembira apabila Khairul Fahmi Che Mat kembali pulih,
manakala Farisham Ismail kini dalam keadaan terbaik untuk diturunkan,"
jelasnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan