KEGAGALAN Malaysia menjuarai kejohanan hoki Piala Sultan Johor 2013 bukanlah sesuatu yang mengejutkan.
Meskipun tampil cemerlang pada peringkat kumpulan, Malaysia ternyata
masih belum mampu menyerap tekanan sehingga gagal untuk merampas kembali
trofi kejuaraan yang dimenangi pada edisi 2011.
Kekalahan 0-3 kepada India pada aksi final di Stadium Hoki Taman
Daya, Johor Bahru malam kelmarin membuktikan betapa Malaysia harus
segera memperbaiki kelemahan yang ada.
Sebelum itu, Malaysia memulakan kempen Piala Sultan Johor 2013 dengan
penuh bergaya apabila menundukkan Argentina 4-2 sebelum menewaskan
Korea (5-1), England (3-1), Pakistan (4-2) dan seri 3-3 dengan India.
Bagaimanapun, skrip berbeza ditampilkan skuad kendalian Muhd. Dharma
Raj Abdullah itu malam kelmarin apabila mereka kelihatan kurang
bertenaga dan sering melakukan kesilapan yang tidak sepatutnya.
Menurut Dharma Raj, sejak awal, beliau sedar India sukar untuk
dijinakkan, namun menganggap kekalahan itu mempunyai hikmah tersendiri
menjelang kempen Piala Dunia Remaja 2013 di New Delhi, India, Disember
depan.
"Dari mula kita tahu bukan mudah untuk tewaskan India yang mempunyai
barisan pemain lebih berpengalaman yang beraksi dalam skuad senior.
"Kita beraksi menentang pasukan yang berpotensi untuk menjadi juara
dunia. Mungkin ada hikmah kita kalah pada hari ini (kelmarin) kerana
kita tahu apa kelemahan kita dan kita boleh perbaiki sebelum kejohanan
yang lebih penting di India," katanya.
Menurut Dharma Raj, selain keadaan fizikal dan kecergasan, barisan
pemain negara harus bijak mengawal emosi terutama ketika terpaksa
beraksi dengan 10 pemain.
Justeru, bagi memastikan skuad negara lebih bersedia, Dharma Raj
berkata, mereka akan mengadakan tiga perlawanan persahabatan dengan
India di lokasi sebenar kejohanan pada 16 Oktober ini.
"Tiga perlawanan persahabatan di sana akan kami gunakan sebaik mungkin bagi memperbaiki lagi skuad negara," katanya.
Kejohanan Piala Dunia Remaja 2013 akan diadakan pada 6 hingga 15 Disember dengan disertai 16 pasukan termasuk Malaysia.
Malaysia diundi dalam Kumpulan D bersama Pakistan, England dan Afrika Selatan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan