LONDON - Real Madrid akan meneruskan usaha mencari seorang penyerang
baharu pada musim perpindahan Januari depan dengan pemain Liverpool,
Luis Suarez dan Radamel Falcao dari Monaco berada dalam senarai utama
mereka.
Kelab gergasi Sepanyol itu telah menjual dua penyerang, Gonzalo
Higuain dan Jose Callejon kepada Napoli musim panas ini, sekali gus
menyaksikan hanya Karim Benzema dan pemain remaja, Alvaro Morata sahaja
yang menggalas tugas di jentera hadapan.
Meskipun bintang Portugal, Cristiano Ronaldo boleh beraksi di posisi
tersebut, jurulatih Real, Carlo Ancelotti tetap mahu melabur wang yang
diperolehi mereka hasil penjualan Mesut Ozil ke Arsenal pada hujung
musim perpindahan lalu.
Presiden Real, Florentino Perez dilaporkan bersedia membelanjakan
£42.5 juta (RM218.2 juta) yang diterima itu ke atas seorang daripada dua
penyerang buruan mereka itu pada Januari depan bagi memastikan Ronaldo
terus kekal bersama mereka.
Ronaldo sebelum ini dikatakan amat berang dengan keputusan Perez yang melepaskan Ozil ke England baru-baru ini.
Falcao pula sebelum ini dikaitkan dengan perpindahan ke Real, namun
membuat keputusan menyertai kelab berbelanja besar, Monaco awal musim
panas lalu untuk bersama bintang Eropah lain seperti James Rodriguez,
Joao Moutinho, Eric Abidal dan Geoffrey Kondogbia.
Sebaik sahaja berhijrah ke kelab Liga Perancis itu, bekas penyerang
Atletico Madrid tersebut dilaporkan mula menerima tawaran daripada
kelab-kelab gergasi Eropah lain selepas dia berdepan masalah mengenai
pembayaran cukainya di Monaco.
Suarez turut dikaitkan dengan skuad The Galacticos itu awal
musim panas ini, namun media melaporkan bahawa kelab tersebut mula
hilang minat ke atasnya setelah berjaya mendapatkan Gareth Bale dari
Tottenham Hotspur.
Penyerang Uruguay itu berhasrat meninggalkan Liverpool untuk menyertai Real, namun pengurus The Reds,
Brendan Rodgers dan pemilik kelab menolak semua tawaran ke atas pemain
bintang mereka itu, termasuk £40 juta (RM205.5 juta) daripada Arsenal. -
Agensi
Tiada ulasan:
Catat Ulasan