JIKA pengendali Harimau Muda, Ong Kim Swee meletakkan trio Myanmar -
Kyaw Zayar Win, Kyi Lin dan Kyaw Ko Ko sebagai sasaran utamanya, Myanmar
pula khuatir dengan kelibat dua tonggak negara, Mohd. Nazmi Faiz Mansor
dan Mohd. Fadhli Shas.
Pada sidang akhbar semalam, pengurus Myanmar, Tin Myint Aung mengakui
betapa Nazmi Faiz yang juga pemain tengah dan Fadhli (pertahanan) mampu
menjadi 'duri dalam daging' buat pasukannya malam ini.
Menurut Myint Aung, beliau secara peribadi tetap menghormati
anak-anak buah Kim Swee yang dianggap sebagai pasukan pilihan muncul
juara pada Pestabola Merdeka kali ini walaupun Myanmar pernah membenam
Harimau Muda 2-1 pada aksi kelayakan Piala Asia Bawah 22 tahun lalu.
"Dua pemain Malaysia, No. 21 (Nazmi Faiz) dan No. 4 (Fadhli) beraksi
sangat baik pada perlawanan menentang Singapura semalam (kelmarin).
"No. 21 saya lihat sangat kreatif serta banyak membuat
hantaran-hantaran tepat walaupun dia bertubuh kecil serta hanya
dimasukkan pada separuh masa kedua. Kemasukannya dilihat banyak merubah
corak serangan Malaysia.
"Pemain No. 4 pula sangat tenang mengemudi benteng pertahanan pasukan Malaysia dan dia juga sangat pantas.
"Jadi kedua-dua pemain itu saya anggap sebagai nadi kekuatan Malaysia," jelas Myint Aung.
Myint Aung berkata, walaupun para pemainnya agak keletihan selain dua
tonggak mengalami kecederaan dalam aksi menentang Thailand kelmarin,
namun motivasi mereka tetap tinggi untuk turun bertemu Harimau Muda.
"Saya telah memberitahu para pemain supaya memberikan persembahan lebih baik ketika menentang Malaysia esok (malam ini).
"Jadi saya berharap kami mampu untuk melakukan kejutan walaupun
Malaysia sudah pasti lebih bersemangat selepas menewaskan Singapura,"
katanya.
Ketika aksi menentang Thailand kelmarin, Zayar Win muncul penyelamat
Myanmar apabila menjaringkan gol penyamaan bagi memadam jaringan awal
penyerang Thailand, Chayawat Srinawong.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan