Ahad, 8 September 2013

Percaturan empat pelakon berkaliber




JAUH di perkampungan Batu 18, Ulu Langat, Selangor, sebuah produksi sedang berkampung melunaskan projek filem terkini. Di kawasan kolam ikan, bersebelahannya terdapat sebuah rumah kampung. Di kediaman tersebut, banyak orang yang semuanya terlibat dalam pembikinan filem dengan judul Tembus.

Tembus belum ditayangkan di pawagam, namun sutradaranya, Ahmad Idham sudah bijak menyu- sun strategi. Tiga pemain utama filemnya bukan nama kecil dalam industri seni tempatan. 

Mereka - Khir Rahman yang sudah cukup gah kredibilitinya, Aaron Aziz dengan popularitinya bukan picisan dan Fazura, si manis kesayangan peminat juga telah terbukti keberkesanan lakonannya. 

Bergabung dengan kehebatan tiga anak seni ini, Idham memancing aktres sensasi dan terkenal Indonesia, Luna Maya untuk pertama kali mencuba nasib dalam pasaran Malaysia.

Secara tidak langsung filem tersebut diwakili oleh pelakon dari tiga negara iaitu Malaysia, Singapura dan Indonesia.

Antagonis Luna
Mememang watak Marylia, Luna mengakui ini bukan pertama kali dia menerima tawaran untuk berlakon di dalam produk Malaysia. Bagaimanapun katanya, dia akhir- nya memberi kata setuju untuk terbabit dengan Tembus selepas diyakinkan oleh pengurusnya, Iman Tang.

"Sebelum ini memang ada banyak tawaran ber- lakon yang datang kepada saya. Bagaimanapun, saya tolak kerana saya tidak tahu 'corak' sebenar industri hiburan Malaysia. Namun, selepas mempunyai pengurus di sini dan kebetulan tawaran ini datang, saya bersetuju untuk mencuba nasib," ujar Luna.

Selain itu jelas Luna, pokok utama yang menggerakkan hatinya untuk bersetuju terbabit dalam Tembus adalah kerana karakter Marylia yang dianggap menarik.

Marylia merupakan watak antagonis, satu watak yang jarang dimainkan oleh Luna sepanjang berkecimpung sebagai pelakon di republiknya.

"Apa yang saya gemar tentang watak Marylia ini kerana ia satu watak psiko yang terjadi kerana cinta," katanya yang enggan mendedahkan lebih banyak tentang karakter tersebut.

Ditanya apa kepentingan buatnya untuk terjun masuk di dalam industri seni Malaysia, mantan ke- kasih Ariel Noah itu memberitahu, dia hanya mahu mencuri pengalaman berlakon di dalam rumpun yang sama.

Ujarnya: "Saya sedar, banyak drama saya ditayangkan di sini tetapi saya tidak pernah beker- jasama dengan produksi di sini.

"Jujurnya, ya saya tidak punya sebarang kepen- tingan untuk berlakon di sini tetapi saya mahu mencuri pengalaman bekerja di sini. Belajar tentang cara kerja dan saya juga tahu bahawa Aaron, Fazura dan Khir misalnya merupakan pelakon yang hebat."

Ditebak dengan persoalan tentang kebarangkalian jika filem tersebut gagal di pasaran adakah dia akan tetap menerima tawaran lain, Luna menegaskan, setiap filem yang di- hasilkan tidak punya rumus matematik yang boleh menjelaskan sama ada ia bakal gagal atau sukses.

Sebaliknya, ia bergantung kepada selera setiap individu. "Saya sebagai pelakon akan cuba memberi yang terbaik, namun pada penghujungnya ia bergantung kepada selera masing-masing."
KHIR dan Aaron bakal menyuntik aura dan kredibiliti lakonan masing-masing dalam filem Tembus.


Tak langgar prinsip Fazura
Seperti Luna, Fazura yang kini kembali aktif berlakon memberitahu, dia menerima lamaran Idham kerana tertarik dengan karakter Izza, seorang ibu yang kehilangan anak.

Sebagai seorang wanita yang belum berumah tangga, jauh sekali memiliki anak, ia merupakan cabaran utama buat aktres tersebut melunaskan tanggungjawabnya dengan sebaik mungkin.

"Saya rasa watak Izza satu cabaran yang menarik untuk saya realisasikan. Sebagai seorang yang belum berkahwin saya perlu membawa watak isteri dan ibu yang kehilangan anak. Itu sesuatu yang sukar buat saya," ujarnya.

Namun, faktor utama yang membuat dia bersetuju memainkan watak isteri kepada Hadi, lakonan Aaron adalah ia tidak melanggar prinsipnya yang perlu bersentuhan secara berlebihan dengan lelaki.
Katanya: "Ini bukan paparan tipikal suami isteri yang perlu ada adegan di atas katil atau berpelukan berlebihan dan sebagainya. Sebab itu, saya terima tawaran ini kerana ia lebih tentang konflik yang mahu dipaparkan."

Sementara itu, bercakap tentang dirinya yang sentiasa menjadi buruan penerbit biar dia sendiri mengehadkan setiap penglibatannya untuk mengelak khalayak muak, Fazura bersyukur kerana kepercayaan yang masih tebal buat dirinya.

Bagaimanapun kata Fazura, dia akan terus selektif demi prinsip yang dipegang selain sibuk dengan bisnes House of Doll miliknya.

"Insya-Allah, untuk filem dan tele- movie, saya masih boleh terima tetapi untuk terbabit dengan drama rantaian, ia sedikit berat kerana saya punya komitmen lain iaitu bisnes untuk selalu diberi perhatian," katanya.

Rezeki Aaron
Aaron Aziz yang begitu 'panas' sebagai pelakon menjelaskan, dia mene- rima tawaran Idham kerana melihat Tembus bukan sekadar sebuah naskhah thriller yang tipikal. Sebaliknya, kata Aaron ia penuh dengan kejutan.

"Ini bukan filem yang senang untuk orang tebak kesudahannya. Sementelah, saya juga senang membina keserasian dengan semua pelakon," jelas Aaron.

Tembus menjadi filem ke-11 Aaron. Ditanya bagaimana dia mengasingkan dirinya dari dunia lakonan filem dengan drama, Aaron memberitahu, dia tidak pernah mengkelaskan jenis pelakon apa dia berada. Sebaliknya, dia senang meletak dirinya sebagai seorang pelakon yang bekerja untuk meneruskan kelangsungan hidup.

Ujarnya: "Saya seorang yang realis- tik. Saya bermain untuk filem dan drama kerana saya seorang pelakon. Melalui kedua-dua cabang ini, saya dapat mengaut pengalaman yang berbeza dan inilah rezeki saya."
LUNA dan Fazura melakonkan watak yang saling berbeza antara satu sama lain.


Khir tidak mendabik dada
Menjadi pelakon paling senior di dalam filem ini, Khir Rahman ironinya seorang yang cukup merendah diri. Dia tidak mendabik dada hanya kerana dia seorang senior, jauh sekali memperlekehkan tiga rakan mainnya.

"Mereka semua pelakon yang hebat dan telah terbukti kehebatan mereka. Saya senang bekerja dengan mereka dan keserasian kami mudah wujud," katanya yang memegang watak Mazri.

Ditanya apakah kelebihan filem tersebut, Khir memberitahu, penonton tidak akan dapat menebak konflik yang berlaku pada separuh cerita dan hanya akan mengetahui kebe- narannya pada penghujung cerita.

Sengaja menjolok Khir dengan persoalan tentang banyak pihak takut untuk mendekatinya kerana dilihat sebagai seorang anak seni yang serius, Khir tersenyum. 

Pantas dia membetulkan persepsi tentang dirinya yang banyak disalah tafsir.

Dia mengaku seorang pembikin seni yang serius dan suka melaku- kan impak terhadap setiap pembabitan atau karya, ironi, dia seorang yang mudah didekati.

"Kelemahan saya, saya memang seorang yang tidak pandai bercakap. Ditambah pula dengan raut wajah yang garang. 

Namun, itu tidak bermakna saya sukar didekati, jujurnya saya okay untuk didekati," ujarnya bersungguh- sungguh.

Ditanya tentang kariernya di luar lingkup seorang pelakon, Khir memaklumkan selain menunggu tayangan filem miliknya, Balada Pencinta berada di pawagam pada 24 Oktober depan, dia juga bakal menerbitkan filem yang diusaha sama dengan produksi Camwerk Studios milik Aqasha, Zain Ruffedge dan Syed Hussein berjudul Garang.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan