LONDON – Brendan Rodgers mengakui dia perlu menambah beberapa lagi
pemain berkualiti dalam skuadnya jika mahu Liverpool menjadi pencabar
utama dalam kelompok empat pasukan teratas Liga Perdana England.
Meskipun telah membawa masuk Mamadou Sakho, Tiago Ilori dan Victor
Moses bagi menyertai barisan pemain baharu, Kolo Toure, Iago Aspas, Luis
Alberto, Simon Mignolet dan Aly Cissokho, pengurus The Reds itu percaya
kehadiran beberapa lagi pemain berkualiti mampu memperkuatkan lagi
cabaran mereka musim ini.
Malah, Rodgers turut membandingkan kekuatan pasukannya musim ini dengan pasukan berbelanja besar, Tottenham Hotspur.
“Kami masih perlu melakukan pembaharuan. Spurs telah berbelanja £100
juta (RM522.3 juta) untuk menjadi pencabar kelompok empat pasukan
teratas.
“Mungkin kami memerlukan beberapa lagi pemain berkualiti pada musim perpindahan selepas ini,” jelas Rodgers.
Dengan sumbangan pemain-pemain baharu ini, Liverpool telah memulakan
saingan musim ini dengan cemerlang apabila menghuni kedudukan teratas
liga dengan rekod kemenangan bersih tiga kemenangan serta belum dibolosi
sebarang gol.
Rodgers juga menerima anugerah Pengurus Terbaik bulan Ogos, namun
menegaskan persembahan cemerlang kelabnya ketika ini adalah hasil
kerjasama semua pemain dalam pasukannya.
“Saya sangat berbangga dengan anugerah ini, tetapi ia bukan hasil
usaha saya seorang sahaja. Ia adalah usaha dan sumbangan seluruh pemain
pasukan ini.
“Amat penting bagi kami mengekalkan prestasi ini dan tidak mudah puas hati dengan pencapaian ini.
“Kami mampu menjadi lebih bagus lagi. Kami telah buktikan kualiti
yang kami mampu miliki dengan kesungguhan, usaha keras dan juga
keinginan dalam diri.
“Kami hanya perlu terus mencatat kemenangan dan mengekalkannya setakat yang mampu,” ujar Rodgers lagi. – Agensi
Tiada ulasan:
Catat Ulasan