LONDON - Bekas pemain tengah Liverpool, Jonjo Shelvey menjadi watak penting yang membantu Swansea City mengikat skuad The Reds 2-2 pada aksi Liga Perdana England di Stadium Liberty awal pagi semalam.
Shelvey yang menyertai Swansea pada musim panas lalu, menjaringkan
gol pembukaan seawal minit kedua sebelum membantu Michu meledakkan gol
kedua pada minit ke-65, sekali gus membolehkan skuad bimbingan Michael
Laudrup mencalarkan rekod kemenangan 100 peratus Liverpool.
Bagaimanapun, satu mata yang dikutip sudah cukup untuk meletakkan
Liverpool di kedudukan teratas liga, satu mata di depan pencabar utama,
Arsenal dan Tottenham Hotspur yang berkongsi sembilan mata.
Namun, pengendali skuad The Reds, Brendan Rodgers tetap memuji karakter anak-anak buahnya sepanjang perlawanan itu.
"Saya rasa kami beraksi dengan sangat baik sepanjang 65 minit pertama.
"Kami menunjukkan karakter yang menakjubkan untuk mengikat kedudukan
sebaik sahaja mereka memperoleh gol pertama dan mengawal permainan
sehingga minit ke-65.
"Saya agak kecewa dengan gol kedua Swansea dan kemudian momentum mula
berubah sepanjang 25 minit terakhir di mana kami terpaksa menunjukkan
semangat juang dan karakter sebenar.
"Namun, kami berjaya membuktikannya malam ini (awal pagi semalam)
bahawa permainan kami semakin menarik dan kami memiliki karakter yang
tersendiri untuk mencatat keputusan yang baik," kata Rodgers.
Pada aksi semalam, Daniel Sturridge hanya mengambil masa dua minit
untuk mengikat kedudukan 1-1 sebelum pemain pinjaman dari Chelsea,
Victor Moses meletakkan Liverpool di depan pada minit ke-37.
Bagaimanapun, penyerang Sepanyol, Michu membantu Swansea mengutip
satu mata apabila menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-64. - Agensi
Tiada ulasan:
Catat Ulasan