LONDON - Steven Gerrard telah meluahkan hasrat dan minatnya untuk
menjadi pengurus Liverpool satu hari nanti selepas era Brendan Rodgers
berakhir.
Kapten The Reds itu berkata demikian selepas mengakui dia
terpaksa mempertimbangkan masa depannya selepas menyaksikan bekas rakan
sepasukan, Jamie Carragher telah bersara pada akhir musim lalu.
Ketika menyaksikan Carragher yang kini bertugas sebagai hos bola sepak kepada rancangan sukan, Sky Sports, Gerrard menganggap dia lebih sesuai untuk meneruskan perjuangan bola sepak dengan menjadi pengendali di Anfield.
Pemain berusia 33 tahun itu memberitahu: "Impian saya akan menjadi
kenyataan sekiranya diberikan peluang untuk mengemudi Liverpool pada
suatu hari nanti.
"Kami telah memiliki pengurus bertaraf dunia tetapi mungkin jawatan
itu akan dikosongkan. Kita tunggu dan lihat pada suatu hari nanti.
"Apabila kamu sudah tiba di kemuncak pada usia kamu, sudah tentu kamu
harus berfikir secara serius mengenai kehidupan selepasnya.
"Saya hanya menandatangani kontrak lanjutan selama setahun. Saya perlu mula merancang masa depan.
"Apa rancangan itu adalah saya kini sedang mengambil kursus dan lesen kejurulatihan yang mana ia akan berakhir pada tahun depan.
"Sudah tentu saya sendiri melihat personaliti saya lebih sesuai jika
menjadi pengurus berbanding jurulatih. Saya pernah bercakap perkara ini
dengan Carragher tetapi beliau lebih berminat untuk terlibat dengan
bidang media.
"Agak 'pelik' apabila menyaksikan beliau hoskan rancangan sukan
tetapi saya sangat berbesar hati sekiranya Carragher menjadi pembantu
saya sekiranya saya dilantik sebagai pengurus Liverpool pada masa akan
datang." - AGENSI
Tiada ulasan:
Catat Ulasan