Rabu, 18 September 2013

Ella gembira rock gegar DFP




SEPANJANG bergelar penyanyi rock wanita selama 30 tahun, sudah pelbagai konsert dijayakan oleh Ella sejak mula dikenali ketika bersama-sama dengan kumpulan Ella & The Boys dahulu.

Sudah berpengalaman menghiburkan peminat dalam konsert-konsert yang berskala besar, namun untuk konsert terbaharu ini pastinya memberikan kelainan buat penyanyi berasal dari Klang, Selangor itu.

Tanggal 21 September ini (Sabtu) para peminat akan berpeluang menyaksikan persembahan istimewa Ella sempena Konsert MPO Rocks bersama Mus May dan Man Kidal yang akan berlangsung di Dewan Filharmonik Petronas (DFP).

Ditemui semasa acara makan malam eksklusif bersamanya di Menara Kuala Lumpur baru-baru ini, Ella meluahkan rasa terujanya kerana beraksi di pentas DFP merupakan satu peluang yang tidak harus dlepaskan sama sekali.

"Saya rasa begitu berbangga dengan konsert yang bakal berlangsung ini, apatah lagi persembahan saya nanti akan diiringi oleh pemuzik Orkestra Filharmonik Malaysia (MPO). 

"Ia merupakan suatu kelainan yang akan ditampil- kan berbanding konsert sebelum ini. Tambahan pula bergabung dengan pemuzik hebat seperti MPO, pastinya ia memberi kenangan tersendiri kepada penonton," jelasnya tentang konsert sulungnya di DFP.

Menyedari tentang kesukaran untuk menembusi pentas DFP, terutamanya buat penyanyi rock seperti dirinya, pemilik nama sebenar Norzila Aminuddin itu meluahkan kegembiraannya kerana pihak DFP telah membuka pintu buat muzik rock.

Ujarnya, peluang yang diraihnya itu juga dianggap sebagai suatu cabaran yang cukup besar kerana membuat persembahan diiringi oleh orkestra sesuatu yang cukup asing buat dirinya sepanjang bergelar penyanyi.

"Kita semua sedia maklum DFP merupakan sebuah pentas yang cukup berprestij dan mereka cukup selektif untuk memilih artis-artis yang membuat persembahan di situ.

"Jadi, konsert ini dilihat sebagai suatu penghargaan buat muzik rock. Lagipun saya diberitahu pemuzik di MPO begitu teruja dan tercabar memandangkan mereka belum pernah memainkan muzik rock sebelum ini," luahnya.

Bercerita lebih lanjut mengenai Konsert MPO Rocks yang bakal dijayakannya itu, penyanyi tersebut menyatakan, semuanya bermula dengan tawaran yang diterima kira-kira tiga bulan lalu.
FIGURA ini sedang meniti kebahagiaan dalam alam rumah tangganya.


Setelah perbincangan demi perbincangan dilakukan dengan pihak MPO, akhir- nya Ella telah memberikan persetujuan pada bulan lalu untuk membuat persembahan di DFP.

"Perbincangan berlangsung dengan cukup lancar dan mereka telah memberikan kebebasan kepada saya. Misalnya, menggunakan pemuzik tambahan yang akan mengiringi konsert saya nanti.

"Mereka telah bersetuju untuk saya menggunakan khidmat pemuzik seperti Man Kidal, Rody Kristal Acis dan Ahamd Muriz manakala lagu-lagu nyanyian saya pula merupakan pilihan MPO," jelasnya.

Bakal membuat persembahan selama 45 minit, Ella akan mempersembahkan lagu- lagu malar segarnya seperti Layar Impian, Sepi Sekuntum Mawar Merah, Standing In The Eyes Of The World, Dua Insan dan Sembilu.

Pembedahan
Di sebalik keterujaannya bercerita tentang konsert yang akan dijayakannya itu, terdapat cerita tersendiri yang belum diketahui umum mengenai tahap kesihatannya.

Tutur Ella, kira-kira tiga minggu lalu dia telah menjalani pembedahan akibat apendiks setelah mengalami kesakitan yang agak teruk di bahagian perut selepas menjayakan sebuah persembahan.
"Sehari sebelum saya menjalani pembedahan keadaan saya agak teruk kerana menahan kesakitan yang agak luar biasa sehinggalah pemeriksaan di buat di hospital.

"Kemudian saya didapati mengalami masalah apendiks yang cukup serius dan doktor menyatakan saya perlu dibedah segera. Saya bersyukur kerana pembedahan berjalan dengan lancar," jelasnya.
Luah Ella, biarpun keadaannya sudah semakin pulih sekarang ini, namun kerisauan tetap dirasainya kerana bimbang tidak dapat memberikan yang terbaik semasa konsertnya itu.
JARANG bertemu suami, Ella mengakui dirinya dirundung perasaan rindu.


Ujarnya, selepas melakukan pembedahan dia telah dinasihatkan oleh doktor supaya tidak terlalu aktif dan bergerak. Bagaimanapun, dia berharap keadaannya itu bukanlah suatu penghalang besar buat dirinya untuk menghiburkan peminat.

"Saya yakin dapat membuat persembahan dengan baik dan tidak mahu keadaan yang dialami ini mengganggu fokus saya. Lebih penting saya mahu para peminat tidak melepaskan peluang untuk hadir pada konsert MPO Rocks nanti," ujarnya.
Jarang bertemu

Selain asyik bercerita tentang konsert yang bakal dijayakannya itu, Ella tidak terlepas daripada diajukan persoalan berkenaan dengan kehidupan rumah tangganya setelah lebih setahun bergelar isteri kepada Azhar Husaini Ghazali.

Menurut Ella, melayari kehidupan sebagai seorang isteri sesuatu yang cukup menggembirakan, meskipun jarang bertemu dengan suami tercinta yang bertugas sebagai juruterbang bersama syarikat penerbangan Firefly. 

"Adakalanya perasaan rindu itu pastinya menjelma dalam diri apabila jarang bertemu, namun sebagai isteri saya perlu memahami kerjaya Azhar selaku juruterbang.

"Kalau ada masa terluang kami akan gunakan sebaik-baik mungkin untuk bersama.
"Sekiranya masing-masing tidak sibuk, kami akan pergi bercuti bersama-sama yang akan turut disertai ahli keluarga yang lain," jelasnya.

Akuinya, sepanjang bergelar isteri kehidupannya kini sudah jauh berbeza.
Sebagai contohnya, Ella tidak boleh terlalu bebas melakukan apa sahaja seperti sebelum berkahwin tetapi dia menganggapnya sebagai perubahan yang positif.

"Saya dan suami selalu berbincang dan akan memberikan pandangan masing-masing sekiranya timbul sesuatu perkara. Setakat ini tidak berlaku sebarang perselisihan faham yang besar, setakat gaduh-gaduh manja itu biasalah," ujarnya.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan