Sabtu, 25 Mei 2013

Aaron Kwok takut kahwin




KEGILAAN peminat terutamanya wanita kepada penyanyi Canto Pop dan pelakon terkenal Hong Kong, Aaron Kwok tidak pernah padam sejak anak pengusaha kedai emas itu terlibat dalam industri seni pada tahun 1980.

Kini, pada usia 47 tahun, Aaron atau nama sebenarnya Aaron Kwok Fu Shing masih segak dan aura bintangnya tidak pernah padam.

Namun baru-baru ini, peminat dan media Hong Kong dikejutkan dengan berita Aaron telah putus cinta dengan kekasihnya selama tujuh tahun, model Lynn Hung.

Kata Lynn tentang hubungan cinta yang tamat pada pertengahan April lalu itu: "Sejak beberapa tahun lalu, saya telah hidup dalam dunia orang lain. 

"Saya tidak mahu memaksa diri lagi, saya mahu gembira. Sekarang ini saya tidak berani untuk mengimpikan sebuah perkahwinan kerana bimbang akan dikecewakan lagi."

Bagaimanapun sebelum kisah cinta itu berakhir terdapat desas-desus, kononnya Aaron bermain cinta dengan aktres Christine Kuo, manakala Lynn pula memaksa Aaron untuk berkahwin selain didakwa curang bersama taikun kasino, Ji Xiao Bo.

Kedua-duanya menafikan khabar angin tersebut dan menjelaskan mereka sebenarnta tidak lagi sehaluan.

Aaron bagaimanapun mengakui takut untuk berkahwin kerana bimbang perkahwinan itu akan gagal.
"Mungkin sebelum ini saya pernah kecewa dalam percintaan. Sebenarnya saya yang selalu ditinggalkan kekasih kerana mereka tidak mampu bertahan dengan kehidupan saya," luah pelakon filem Para Para Sakura itu.

Ditebak dengan soalan, adakah dia yang meninggalkan Lynn? Aaron bagaimanapun menafikan spekulasi itu.

"Kenapa orang fikir saya yang tinggalkan dia? Sudah semestinya tidak! Saya tidak mahu bercakap banyak bimbang akan kecilkan hatinya lagi.

"Saya sedar ramai orang ingat saya jenis lelaki yang suka bermain cinta dengan ramai wanita tetapi siapa yang mengenali saya pasti akan tahu perangai sebenarnya saya," balasnya.
Aaron yang kelihatan cekal hatinya, mengakui, dia juga hampir rebah dengan kisah cintanya. Namun, dia akur dengan haluan yang sedang dilaluinya.

"Contohnya, jika anda memakai kasut yang terlalu kecil sudah tentu akan menyakitkan kaki anda. Pastinya anda mahukan sepasang kasut yang selesa untuk dipakai setiap hari.

"Sama juga halnya dengan memilih teman hidup. Saya hanya boleh pakai kasut yang sesuai sahaja supaya tidak cederakan diri sendiri. Jika tidak sesuai lebih baik saya cari kasut yang lain," tutur Aaron penuh makna.
BERKALIBER. Aaron sudah membintangi sebanyak 53 buah filem.


Christmas Rose
Kontroversi putus cintanya bersama Lynn berlaku pada waktu yang tepat. Ketika media memburunya untuk mendapatkan perkembangan lanjut mengenai hubungan mereka, Aaron menggunakan publisiti yang diterima untuk mempromosikan filem terbaharunya Christmas Rose.

Cara yang cukup bijak untuknya lari daripada terus ditanya soalan tentang kehidupan peribadi. Akuinya juga selepas putus cinta dan meraikan gelaran bujangnya, Aaron memberi perhatian kepada filem Christmas Rose.

"Saya bermati-matian ketika berlakon dalam filem ini. Lebih baik hormati saya sebagai pelakon dan tanya saya soalan tentang kerja," katanya ketika sesi tayangan perdana filem itu di Hong Kong baru-baru ini.

Bercakap tentang filem Christmas Rose yang diarahkan Charlie Young itu telah memperlihatkan bakat Aaron sebagai peguam bela kepada seorang wanita kurang upaya lakonan Gwei Lun Mei yang telah mengalami serangan seksual daripada seorang pakar bedah terkenal.

Aaron bersetuju untuk berlakon dalam filem yang mengetengahkan topik yang agak kontroversi itu atas faktor skrip yang jujur, selain sebagai tanda sokongan kepada filem pertama arahan Charlie.
"Saya membawakan watak Chen, seorang peguam yang sangat percaya pada keadilan serta patuh pada undang-undang. 

"Bagaimanapun watak Chen merupakan seorang lelaki yang berkonflik dengan nilai dalamannya, tambahan pula, saya tidak pernah melakonkan watak seorang peguam sebelum ini. Apa yang pasti, saya sangat gembira melihat hasil akhirnya," katanya.

GOSIP kini mengaitkan Aaron dengan aktres Christine Kuo.


Pilihan Charlie
Bagi memberi hasil lakonan yang baik, Aaron tidak keberatan untuk melakukan kajian terhadap kes-kes serangan seksual yang sebenar.

"Kajian itu penting untuk saya memahami dengan tepat perjalanan kes serta aspek pertuturan seorang peguam yang banyak mengandungi terma-terma perundangan.

"Saya banyak menghabiskan masa untuk mengkaji dan mempraktikkannya supaya dapat memberikan persembahan terbaik," luahnya yang turut digelar CantoPop Four Heavenly Kings bersama aktor tersohor Hong Kong yang lain iaitu Jacky Cheung, Andy Lau dan Leon Lai.

Ujar Aaron lagi, watak Chen yang dipikulnya cukup dekat dengan dirinya yang sebenar.
"Chen merupakan seorang lelaki yang berteraskan keadilan dalam kehidupannya, konsisten dan tidak pernah mengalah. Jika dinilai daripada aspek ini, Chen dan saya mempunyai banyak persamaan," terangnya yang popular dengan lagu Loving You Forever.

Sebagai pelakon yang telah membintangi 53 buah filem, Aaron cukup mempercayai kebolehan Charlie sebagai pengarah pertama kali kerana sudah mengenalinya selama 20 tahun.

"Kami sudah kenal selama 20 tahun dan saya sering lihat komitmen kerjanya. Apabila diberi peluang mengarahkan filem pertamanya, orang pertama yang dihubunginya adalah saya.

"Dia mengharapkan agar saya jadi salah seorang pelakonnya. Disebabkan persahabatan kami bertahun-tahun lamanya membuatkan saya terpanggil untuk membintangi serta menjadikan filemnya satu realiti. Dia seorang pengarah yang cukup berkaliber di set penggambaran. Saya berharap peminat di Malaysia memberi sokongan kepada filem ini," ujarnya.
Kosmo

Tiada ulasan:

Catat Ulasan