|
LONDON – Stadium keramat bola sepak Inggeris bakal bergema dengan
sorakan suara Jerman apabila menemukan dua kelab gergasi Liga Jerman,
Bayern Munich serta Borussia Dortmund dalam final Liga Juara-Juara di
Stadium Wembley, awal pagi esok.
Untuk rekod, di stadium inilah dua tahun lalu, Barcelona telah
mencipta sejarah apabila menumbangkan gergasi England, Manchester United
3-1 untuk merangkul piala yang sama.
Tetapi, tahun ini Bayern dan Dortmund ternyata berada dalam kelas
tersendiri apabila membuktikan kuasa bola sepak Jerman ternyata tidak
dapat ditandingi oleh mana-mana negara lain.
Cemerlang pada aksi separuh akhir, Bayern telah menunjukkan jalan
keluar buat Barcelona apabila mereka menang besar 7-0 menerusi agregat
manakala Dortmund juga turut mengesahkan tiket ke pentas final ini
dengan menumbangkan satu lagi gergasi Sepanyol, Real Madrid 4-1.
Tanpa mengambil kira siapa pun juara musim ini, bola sepak Jerman
seharusnya berbangga kerana berjaya mendominasi pentas final peringkat
Eropah musim ini namun yang pastinya kedua-dua pasukan itu bakal
berentap dalam pacuan motivasi berbeza.
Untuk Bayern yang sinonim dengan jersi merah, mereka mempunyai misi
peribadi untuk mencari penawar kedukaan apabila tewas di pentas final
2010 kepada Inter Milan dan begitu juga pada final 2012, kalah menerusi
sepakan penalti kepada Chelsea.
Bagi Dortmund yang sinonim dengan warna kuning, mereka sudah lama
menanti saat ini selepas kali terakhir muncul juara pada 1997 di samping
mempunyai misi peribadi untuk dibuktikan pada Bayern.
Mereka mahu menjadi kuasa baharu bola sepak Jerman di samping ingin
memalukan Bayern yang bertindak menyambar pemain tengah berpengaruh
mereka, Mario Goetze dengan harga £31.7 juta (RM145.1 juta) musim depan.
Bagaimanapun, kecederaan hamstring yang menimpa Goetze memberi
sedikit keceriaan buat Bayern tetapi mereka harus sedar bahawa Dortmund
tidak hanya bergantung kepada Goetze seorang kerana kelibat peledak
berbisa Poland, Robert Lewandowski, Marcel Schmelzer, Lukasz Piszczek,
Marco Reus serta Sebastian Kehl juga harus diberi perhatian.
Menurut penjaga gol Dortmund, Roman Weidenfeller, mereka tidak
sedikit pun terkesan dengan ketiadaan Goetze dan perkara itu telah
dibuktikan dalam pentas final Piala Jerman 2012 apabila mereka
menewaskan Bayern 5-2 tanpa kehadiran Goetze.
“Saya berani jamin bahawa kami mampu beraksi dengan baik walaupun tanpa kehadirannya. Kami tidak bergantung pada seorang pemain.
“Pada final DFB-Pokal 2012 Mario juga tidak beraksi. Tetapi kami tetap muncul juara,” tegas Weidenfeller.
Menurut jurulatih Bayern, Jupp Heynckes, 68, kedua-dua pasukan sangat memahami corak permainan masing-masing.
“Kedua-dua jurulatih sangat mengenali pemain lawan dan antara kami tiada rahsia.
“Kami sangat memahami corak permainan masing-masing. Cuma pentas
final itu yang berbeza,” kata Heynckes yang bakal meninggalkan Bayern
selepas berakhir perlawanan dan diganti oleh Pep Guardiola. – AFP
Tiada ulasan:
Catat Ulasan