BERLIN - Bayern Munich akan turun beraksi pada final Piala Jerman
awal pagi esok dengan misi untuk mencipta sejarah menjadi kelab Jerman
pertama berjaya meraih gelaran juara trebel.
Selepas menjuarai Bundesliga dan Liga Juara-Juara Eropah, Piala
Jerman dilihat bakal melengkapkan kejayaan gemilang mereka musim ini
sekiranya berjaya mengatasi Stuttgart.
Atas kertas, Bayern dijangka tidak menghadapi masalah untuk menang
sebagai hadiah paling bermakna buat jurulatih mereka, Jupp Heynckes yang
akan meninggalkan kelab itu untuk memberi laluan kepada Pep Guardiola
selepas ini.
"Kami masih dahagakan kemenangan kerana kami mahu diingati sampai
bila-bila. Piala Jerman ini menjadi penting bukan sahaja untuk dibawa
pulang tetapi untuk kami mencatat sejarah baharu," kata pemain tengah,
Thomas Mueller.
Dengan tinggal Stuttgart menjadi penghalang, kejayaan menjulang Piala
Jerman akan menjadikan Bayern kelab ketujuh di Eropah yang berjaya
meraih juara trebel.
Bayern akan menyertai kelab yang pernah mencipta sejarah yang sama
seperti Celtic pada 1967, Ajax (1972), PSV Eindhoven (1988), Manchester
United (1999), Barcelona (2009) dan Inter Milan (2010).
"Dalam kalangan kami (pemain Bayern), sudah 100 kali rasanya kami
bercakap tentang juara trebel ini. Ini kami tidak pernah berada dalam
keadaan seperti sekarang.
"Peluang yang tidak selalu datang seperti ini perlu digunakan
sebaiknya untuk mencipta sejarah dan ia menjadi motivasi kepada setiap
pemain," tambah Mueller. - AP
Tiada ulasan:
Catat Ulasan