Jumaat, 3 Mei 2013

Pengajaran berguna buat Harimau Muda


KIM SWEE berharap skuad bimbingannya memperoleh pengajaran yang berguna sepanjang latihan di Slovakia.


PENGALAMAN berguna yang diraih Harimau Muda sepanjang 'berguru' di bumi Eropah kali ini sememangnya tidak dapat diukur dengan wang ringgit.

Selepas berdepan masalah kerapuhan benteng pertahanan serta masalah kesilapan individu sesetengah pemain sepanjang aksi persahabatan sebelum ini, kegagalan pemain muda negara 'membaca' taktikal lawan juga perlu diperbaiki segera.

Pengendali Harimau Muda, Ong Kim Swee mengakui anak-anak buahnya perlu berwaspada dengan ancaman set piece yang dimiliki pihak lawan ketika tumpas 0-3 kepada kelab Hungary, Kaposvari FC dalam aksi persahabatan terakhir di Budapest baru-baru ini.

"Kami tewas 0-3 kepada Kaposvari gara-gara set piece yang cukup efektif daripada pihak lawan.

"Namun, kemampuan pemain Harimau Muda mencipta peluang memberi petanda yang positif," kata Kim Swee menerusi Twitter peribadinya kelmarin.

Untuk rekod, ia merupakan kekalahan kelima Harimau Muda sepanjang berada di Eropah kali ini.

Selepas tewas sebanyak dua kali dalam dua pertemuan dengan kelab Slovakia, MSK Zilina (1-4 dan 2-3) dan dibelasah 1-7 oleh skuad Bawah 21 tahun (B-21) Georgia, skuad muda negara juga terpaksa akur dengan kehebatan kelab divisyen satu Hungary, FGSZ Siofok apabila tumpas 0-4 di Budapest minggu lalu.

Selain itu, taring Harimau Muda juga tampak tumpul apabila sekadar melakar keputusan seri 1-1 dengan skuad B-19 Slovakia serta terikat tanpa jaringan ketika berdepan skuad B-19 Norway sebelum ini.

Untuk rekod, siri ujian persahabatan itu merupakan medan pemanas badan skuad muda negara sepanjang berguru selama lima bulan di Slovakia sebagai persiapan awal mempertahankan pingat emas pada temasya Sukan SEA 2013 di Myanmar penghujung tahun ini.

Mereka dijangka mengadakan beberapa ujian persahabatan lagi di sana selepas ini apabila hanya kembali ke tanah air sebelum Aidilfitri.
Selain dijadualkan mengharungi Pestabola Merdeka, Ogos depan, Harimau Muda juga membawa cabaran negara dalam temasya Sukan Universiti Dunia (Universiade) 2013 di Kazan, Rusia dari 6 hingga 17 Julai depan.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan