|
LONDON – Roberto Mancini akan dipecat oleh Manchester City pada minggu ini.
Tugasnya selaku pengurus City dilaporkan bakal diambil alih jurulatih Malaga, Manuel Pellegrini.
Era Mancini selama tiga tahun setengah di City akan berakhir selepas
ahli lembaga kelab Eastlands itu memutuskan bahawa pengurus dari Itali
itu telah cuba membawa kelab ke tahap yang terbaik.
Pellegrini dijangka berjumpa pemilik Etihad itu Khamis ini bagi
melengkapkan perjanjiannya, dan Mancini juga mungkin tidak akan
membimbing pasukannya itu pada pertemuan dengan Reading awal pagi esok.
Mancini yang dilihat menghabiskan masa petang kelmarin dengan makan
malam bersama barisan kejurulatihannya, mungkin juga dikekalkan sehingga
perlawanan terakhir dengan Norwich, Ahad depan.
Namun, sumber kelab itu memberitahu bahawa dia tidak akan menyertai
jelajah pramusim ke Amerika Syarikat yang dijadualkan bermula minggu
depan.
Pegawai di City menganggap Mancini tidak memiliki kebolehan untuk
membawa kelab itu sebagai antara gergasi Eropah, sekali gus memaksa
mereka mencari pengurus baharu yang mampu menghadiahkan trofi Liga
Juara-Juara kepada mereka.
Pemain City juga dikhabarkan kurang gembira dengan cara pengurusan
Mancini dan dia akan dilepaskan selepas perbincangan mengenai jumlah
pampasan diselesaikan.
Ketua Eksekutif City, Ferran Soriano dan pengarah kelab, Txiki
Bergiristain melihat Pellegrini, 59, sebagai calon yang sesuai
menggantikan Mancini.
Jurulatih Malaga itu pernah meraih kejayaan ketika menerajui
Villarreal sebelum menyertai Real Madrid yang mana dia hanya bertahan
selama semusim sahaja.
Namun, ketika bersama Malaga, dia berjaya membawa pasukan tersebut mara ke suku akhir Liga Juara-Juara. – Agensi
Tiada ulasan:
Catat Ulasan