Isnin, 6 Mei 2013

Serangan tumpul punca merudum - Rodgers



STURRIDGE (tengah) gagal mengisi kekosongan yang ditinggalkan Suarez dalam menghasilkan gol ketika bertemu jiran Merseyside, Everton kelmarin.


LIVERPOOL - Pengurus Liverpool, Brendan Rodgers merasakan mereka memerlukan seorang atau dua lagi pemain di bahagian serangan pada musim depan selepas menyaksikan jentera serangannya gagal merobek benteng pertahanan Everton dalam aksi liga, kelmarin.

Dalam pertembungan antara dua seteru Merseyside itu di Anfield, pemain Liverpool, Daniel Sturridge, Steven Gerrard serta Daniel Agger masing-masing terlepas peluang terbaik menjaringkan gol.
Kini, Liverpool ketinggalan lima mata kepada Everton yang berada di tangga keenam Liga Perdana ketika berbaki dua perlawanan lagi untuk ditamatkan.

"Kami sangat memerlukan seorang atau dua lagi untuk membantu dalam perlawanan genting seperti ini. Kami terlalu banyak seri pada musim ini (13 perlawanan) dan kami perlu mencari penyelesaian segera.

"Itu bukan prestasi terbaik kami (menentang Everton) tetapi kami perlu bangkit untuk lebih kompetitif. Namun, kami juga banyak mencatat rekod bersih, tidak bolos sebanyak 15 kali pada musim ini," jelas Rodgers.

Menurut Rodgers, mereka tidak bermasalah di benteng pertahanan berbanding serangan. Jentera serangan mereka juga ada peningkatan pada musim ini .

Dalam pada itu, Everton hampir pasti menamatkan saingan di atas Liverpool untuk musim kedua berturut-turut dan itu juga bermakna tempat dalam saingan Liga Europa juga berada dalam genggaman mereka manakala Tottenham Hotspur semakin selesa di tangga kelima.

"Satu perkara paling utama kini bagi kami adalah tempat ke saingan Eropah dan pasukan kami juga sudah semakin matang.

"Saya juga tidak mahu terlalu yakin untuk tamat di atas Liverpool selagi liga belum berakhir. Bagi saya, layak ke Liga Europa adalah paling utama dan objektif saya tidak berubah," kata pengurus Everton, David Moyes. - AFP

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan