Ahad, 12 Mei 2013

Johor belum menyerah



LEONEL Nunez (kiri) banyak membantu mengubah corak permainan Johor DT pada saingan pusingan kedua Liga Super musim ini.


JOHOR Darul Takzim (Johor DT) masih belum mahu menyerah. Mereka tetap menyimpan hasrat untuk memburu gelaran liga meskipun masih ada baki enam perlawanan lagi untuk diharungi.

Tiada yang mustahil buat Harimau Selatan itu seandainya mereka tidak lagi keciciran mata selepas ini.

Ketua jurulatih, Fandi Ahmad (gambar kecil) tetap yakin peluang untuk mengejar kejuaraan Liga Super musim ini masih terbuka walaupun dipisahkan dengan perbezaan enam mata di belakang pendahulu liga, Lions XII.

Menurut Fandi, tiga mata berharga yang diperoleh selepas menewaskan Selangor PKNS 3-1 di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin kelmarin menjadi pembakar semangat buat mereka untuk terus bangkit mengejar dua pasukan teratas liga iaitu Lions dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

“Kemenangan ini amat melegakan dan para pemain menguasai keseluruhan babak pertama. Namun, pada babak kedua, pemain seperti hilang fokus dan gagal menyekat kemaraan pasukan pelawat.

“Apa yang lebih penting, kita berjaya mendapatkan tiga mata dan saya yakin kami mampu mengejar dua pasukan teratas liga, seterusnya menjulang kejuaraan liga,” katanya kepada pemberita selepas tamat perlawanan di Larkin malam kelmarin.

Mengulas perlawanan tersebut, Fandi berkata, secara keseluruhannya, para pemain telah menunjukkan peningkatan, namun terdapat sedikit kelemahan di bahagian pertahanan.

Beliau juga mengakui sedikit kecewa apabila jaringan tunggal PKNS pada perlawanan tersebut tidak dicabar oleh barisan pertahanannya dan akibatnya, gawang mereka bolos.

“Kita akan memperbaiki kelemahan-kelemahan yang ada sebagai persiapan menghadapi perlawanan akan datang,” katanya.

Johor DT kini berada di tangga ketiga liga dengan mengumpul 28 mata manakala Lions XII kukuh di tangga teratas dengan 34 mata, satu mata di hadapan ATM.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan