|
DIA baru sahaja mahu memulakan langkah di bidang lakonan selepas dua
setengah tahun meninggalkannya kerana mencuba nasib di awan biru sebagai
pramugari Qatar Airways, Sherry Ibrahim kini terpaksa berdepan dengan
kontroversi.
Pelakon drama Renjis yang kelihatan semakin cantik itu dikaitkan semula dengan bekas teman lelakinya, Ashraf Muslim.
Sebelum kemunculan nama Sakinah yang mendakwa dirinya bakal
mengahwini Ashraf yang kemudian dinafikan aktor kacak tersebut, ada
beberapa pihak yang mengaitkan Sherry dengan isu panas itu baru-baru
ini.
Kesemuanya adalah ekoran Ashraf yang didakwa bakal berkahwin lain dengan keizinan isterinya, Noor Dayana Lokman, 26.
Kosmo! menjadi akhbar pertama yang meraih respons daripada Ashraf
iaitu pada 7 Mei lalu yang mana dia enggan mengulas tentang perkara itu
tetapi mengakui rumah tangganya ada isu berbangkit.
Meminta Sherry mengulas mengenai perkara itu ketika dia ditemui pada
majlis pelancaran drama Teduhan Kasih di Sri Pentas TV3, Petaling Jaya,
Selangor baru-baru ini, Sherry berharap agar namanya tidak lagi
dikaitkan dengan Ashraf.
Luahnya, sejak putus cinta dengan Ashraf, 32, kira-kira empat tahun lalu, dia tidak pernah berhubung lagi dengan Ashraf
"Sejak berpisah dengan dia (Ashraf) sekitar 2009, kami tidak pernah
berhubung lagi. Semuanya sudah berlalu. Walaupun ramai yang kata saya
pergi kerana kecewa, itu semua tidak benar. Saya tidak keluarkan apa-apa
kenyataan.
"Sejujurnya, saya tidak tahu mengenai gosip Ashraf itu. Sebabnya,
saya tidak berapa suka baca gosip-gosip dalam media. Saya pun tidak tahu
sudah tiga tahun dia berkahwin. Rasa macam dia baru kahwin sahaja,"
ungkapnya tentang Ashraf yang telah bernikah dengan Noor Dayana pada 30
Ogos 2011 di Mekah, Arab Saudi itu.
Melanjutkan kata-kata yang lebih matang dari bibirnya, dia
memberitahu, ia adalah hak Ashraf untuk berkahwin lagi kerana orang luar
tidak tahu mengenai hal sebenar rumah tangga mereka.
|
Kekasih baharu
Sudah mempunyai kehidupan sendiri, Sherry atau nama sebenarnya
Syarizad Ibrahim, 30, juga mendedahkan, dia kini sudah mempunyai
kekasih.
Kekasihnya itu merupakan seorang lelaki Mauritius yang dikenalinya
ketika bertugas sebagai pramugari sejak setahun lalu di syarikat
penerbangan Qatar Airways.
"Saya sudah ada kekasih dan kami telah menjalinkan hubungan sejak
setahun lalu. Kami kenal ketika saya menetap di Doha," ujarnya yang
enggan mendedahkan nama lelaki itu dan cukup sekadar orang tahu dia
sudah berpunya.
Tambah Sherry, buat masa ini dia belum terfikir dan merancang untuk berumah tangga.
Mengakui kontrak perkhidmatannya sebagai pramugari Qatar Airways
tamat sejak Mei tahun lalu, ujar Sherry, dia mendapat tawaran untuk
melanjutkan kontrak tersebut tetapi dia menolaknya kerana ingin pulang
ke Malaysia dan berehat panjang.
Ceritanya lagi, kembalinya semula ke dunia lakonan bukan atas kehendaknya tetapi rezeki yang tiba-tiba datang bergolek.
"Saya mula berlakon menerusi drama Setia Hujung Nyawa tetapi watak
saya tidak banyak. Drama kedua lakonan saya iaitu Teduhan Kasih baru
menguji kredibiliti sebagai pelakon," ujarnya yang membawa watak utama
wanita di samping Adi Putra dan Shah Iskandar.
Mengulas mengenai wataknya dalam drama tersebut, Sherry mengakui
dirinya agak gementar berhadapan dengan lensa kamera pada awal sesi
penggambaran.
"Perasaan gugup itu memang tidak dapat saya elakkan tambahan pula
saya diberi watak besar. Empat hari permulaan penggambaran saya akui
tidak tahu memberi ekspresi pada watak Iffa.
"Saya akui masih banyak perkara perlu diperbaiki dalam lakonan saya
dan mengharapkan lakonan kali ini akan diterima baik penonton," katanya
yang mula berlakon sejak tahun 2006 dan kemudiannya menjadi pramugari
pada tahun 2010.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan