KUALA LUMPUR - Pertembungan dua musuh tradisi,
Pahang dan Selangor di Stadium Darul Makmur Selasa ini bakal menentukan
peluang masing-masing dalam pemburuan kejuaraan Liga Super musim ini
ketika saingan hanya berbaki lapan perlawanan.
Dengan hanya satu mata memisahkan kedua-dua pasukan, Selangor berada
di tangga keempat diekori rapat oleh Pahang, hanya kemenangan boleh
membantu impian mana-mana pasukan untuk terus mengejar kedudukan Lions
XII yang semakin selesa di tangga teratas.
Atas kertas, Pahang mempunyai sedikit kelebihan kerana mempunyai
tempoh rehat lebih panjang berbanding Selangor yang baru melalui
perlawanan Piala AFC, namun mereka terpaksa melakukannya tanpa khidmat
penyerang Argentina, Matias Conti.
Terpaksa melupakan aksi sekurang-kurangnya untuk tempoh dua minggu,
jurulatih Tok Gajah, Dollah Salleh, terpaksa meletakkan harapan
sepenuhnya kepada penyerang tempatan, Mohd. Fauzi Rozlan dan Azamuddin
Mohd. Akil.
"Perkara yang menjadi kebimbangan (menjelang pertemuan dengan
Selangor) adalah kita tidak boleh menggunakan Conti dan saya harap
pemain lain yang diturunkan mampu memikul tugasan mendapatkan gol.
''Tanpa dia sekali pun, saya harap kelebihan beraksi di tempat
sendiri dapat membantu kami dan prestasi para pemain dapat ditingkatkan
berbanding bertemu Felda tempoh hari," kata Dollah ketika dihubungi,
baru-baru ini.
Bagaimanapun, ketika memikirkan masalah di jentera serangan, Dollah
semakin berpuas hati dengan persembahan di bahagian pertahanan sejak
hadirnya pemain import baharu dari Jamaica, Damion Stewart.
''Apa yang saya dapati dalam tiga perlawanan terakhir kami lalui,
masalah di bahagian pertahanan yang sering menjadi persoalan sebelum ini
sudah selesai.
''Mereka dapat bermain dengan baik dan saya benar-benar rasa gembira sejak kehadiran Damion, " katanya.
Sementara itu, pengendali Red Giants, Irfan Bakti perlu
berhati-hati dalam menurunkan pemain yang akan turun ke Kuantan kerana
bakal melalui jadual perlawanan yang padat ekoran beraksi di pusingan
kedua Piala AFC pada 15 Mei ini menentang kelab Maldives, New Radiant.
''Selepas menentang Pahang, akan ada lagi perlawanan pada 10 Mei dan
15 Mei, jadi saya kena mengadakan perancangan penggiliran pemain.
''Saya mungkin akan mengadakan perbincangan untuk menentukan pemain
yang akan diturunkan tetapi kami tetap akan ambil serius untuk saingan
liga.
''Ada pemain saya seperti Nasriq Baharom mengalami sindrom kepenatan
akibat terlalu banyak beraksi dan ini sesuatu yang saya mahu elakkan
terhadap pemain lain," katanya.
Pertahanan Selangor yang diperkuatkan dengan kehadiran pemain dari
Australia, Adam Griffiths dilihat beraksi semakin baik dan situasi itu
pasti menjadikan pertembungan Tok Gajah serta Red Giants satu aksi yang sukar dijangkakan
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my
Tiada ulasan:
Catat Ulasan