Ahad, 12 Mei 2013

Serena belasah Sharapova


MADRID - Serena Williams mengukuhkan statusnya sebagai pemain No. 1 dunia dengan menewaskan Maria Sharapova untuk menjuarai Kejohanan Tenis Terbuka Madrid. 

Pada aksi akhir semalam, Serena menundukkan pemain No. 2 dunia itu 6-1, 6-4, sekali gus melengkapkan kemenangan ke-50 dalam kariernya. 

"Terima kasih kepada semua. Saya sangat gembira dengan kemenangan ini," ujar Serena yang mempertahankan rekod tanpa kalah ke atas Sharapova dalam 12 pertemuan sejak 2004. 

Sementara itu, Sharapova menyifatkan kekalahan ke atas Serena sebagai petanda untuknya untuk terus bekerja keras dalam menentang pemain No. 1 dunia itu. 

"Ia amat istimewa buat saya dan secara jujur, saya berharap dapat bermain lebih banyak pusingan. 

"Bagaimanapun, saya akan menunggu pertemuan seterusnya dalam kejohanan akan datang," ulas pemain dari Rusia itu. 

Serena yang pernah terlepas kedudukan sebagai ratu tenis dunia, menguasai gelanggang sejak permainan bermula dengan mendahului 4-0. 

Bagaimanapun, Sharapova yang enggan memberi kemenangan mudah kepada pemain dari Amerika Syarikat itu, bangkit pada permainan kelima sebelum sekali lagi hilang rentak permainan dan tewas dengan 6-1. 

Set kedua menyaksikan Sharapova berjaya mengikat kedudukan dengan 3-3 sebelum berjaya dibolosi Serena dengan corak permainan yang lebih agresif. 

Sharapova yang bermain di bawah tekanan memberi kelebihan kepada Serena untuk menamatkan saingan dengan 6-4 dalam masa satu jam 15 minit. - AFP

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan