Jumaat, 31 Mei 2013

Kelantan sedia hadapi final



BADHRI (dua dari kiri) yang mengalami kecederaan dijangka pulih sepenuhnya menjelang final Piala FA 29 Jun nanti.


KELANTAN sedia bertemu pemenang antara Johor Darul Takzim (Johor DT) atau Pahang pada final Piala FA 2013 musim ini, sekali gus mempertahankan kejuaraan yang dimenangi pada tahun lalu.

Pengurus The Red Warriors, Azman Ibrahim (gambar kecil) berkata, pasukannya sentiasa bersedia untuk menghadapi mana-mana pasukan pada aksi final yang bakal berlangsung 29 Jun ini di Stadium Nasional, Bukit Jalil nanti.

“Bagi saya, kedua-dua pasukan mempunyai kelebihan masing-masing. Layak ke final bermakna pasukan tersebut cukup kuat dan kita tidak boleh mengambil mudah perlawanan itu nanti.

“Soal bertemu Johor DT atau Pahang, kita tetap bersiap sedia. Ini peluang terbaik untuk kita mengekalkan kejuaraan selain mencari tempat untuk beraksi dalam saingan Piala AFC musim depan,” katanya di Kota Bharu semalam.

Kelantan mara ke pentas final buat kali ketiga berturut-turut sejak 2011 selepas menyingkirkan seteru tradisi Terengganu menerusi agregat 6-5 pada aksi separuh akhir kedua baru-baru ini.

Juara bertahan itu, kini menanti pemenang perlawanan antara Pahang dengan Johor DT yang terpaksa ditangguhkan akibat rusuhan penyokong di Stadium Darul Makmur, Kuantan Selasa lalu.

Azman memberitahu, pentas akhir Piala FA ini juga merupakan medan terbaik buat Kelantan untuk menebus kekecewaan selepas gagal mempertahankan kejuaraan Liga Super.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, Kelantan akan kembali menjalani latihan pada 2 Jun sebagai persediaan untuk menghadapi saingan final Piala FA.

Katanya, dua tonggaknya iaitu kapten pasukan, Mohd. Badhri Radzi dan Shakir Shaari tidak akan bersama pasukan kebangsaan selepas mengalami kecederaan.

“Tempoh rehat selama tiga minggu merupakan peluang terbaik Kelantan untuk mendapatkan semula pemain yang sebelum ini cedera termasuklah Dickson Nwakemi.

“Selain itu, peluang ini akan digunakan sebaik mungkin untuk merencanakan strategi pasukan menghadapi aksi final nanti,” ujarnya.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan