Jumaat, 3 Mei 2013

Benitez tagih sokongan peminat


PEMAIN-PEMAIN Chelsea meraikan kejayaan Luiz menjaringkan gol ketiga ketika pasukan itu menewaskan Basel 3-1 di Stamford Bridge awal pagi semalam.


LONDON - Rafael Benitez berharap para peminat Chelsea akan menghargai jasanya selepas beliau membantu skuad The Blues mara ke final Liga Europa buat kali pertama dalam sejarah kelab itu.

Chelsea menempah slot ke final selepas menyingkirkan kelab Switzerland, FC Basel secara agregat 5-2 hasil kemenangan 2-1 pada aksi separuh akhir pertama minggu lalu dan 3-1 pada pertemuan kedua di Stamford Bridge awal pagi semalam.

Pengendali sementara Chelsea itu bergelut untuk 'menawan' hati para peminat kelab tersebut sejak menggantikan tempat Roberto Di Matteo, November tahun lalu.
Bagaimanapun, beliau akan dijulang bagai wira sekiranya berjaya menewaskan Ben- fica pada aksi final di Amsterdam, Belanda, 15 Mei ini.

Dalam pada itu, Chelsea masih bergelut untuk mengukuhkan kedudukan dalam kelompok empat pasukan teratas pada kempen Liga Perdana England, sekali gus layak ke saingan Liga Juara-Juara iaitu pertandingan yang dimenangi di bawah bimbingan Di Matteo musim lalu.

Namun, Benitez berharap kecemerlangan dalam pertandingan kedua berprestij di Eropah itu mendapat penghargaan daripada para peminat.

"Dalam semua keadaan dan apa yang berlaku awal musim ini termasuk situasi pembelian pemain baharu dan pasukan dalam proses peralihan. Ia sangat sukar tetapi kami melakukan tugas dengan baik.
"Kami tidak mempunyai banyak masa, terpaksa bermain dua perlawanan setiap minggu tetapi kami menghadapinya dengan baik. Saya harap kami akan melakukannya dengan lebih baik selepas ini.

"Kami sangat profesional dalam menjalankan tugas. Sejak tewas kepada Swansea City (aksi separuh akhir Piala Liga), kami menang 11 daripada 13 perlawanan di tempat sendiri, dua kali seri dan 11 kali menang.

"Kami melakukan tugas kami dan berharap para peminat akan menghargainya," kata pengendali kelahiran Sepanyol itu.

Pada aksi awal pagi semalam, Chelsea ketinggalan pada separuh masa pertama hasil jaringan penyerang Basel, Mohamed Salah.

Begitupun, Fernando Torres menyamakan kedudukan pada minit ke-50 sebelum Victor Moses dan David Luiz mengesahkan kemenangan skuad The Blues hasil jaringan masing-masing minit ke-52 serta ke-59.
Sementara itu, Benfica menempah slot ke final selepas menewaskan Fenerbahce dengan agregat 3-2. - AFP

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan