Isnin, 13 Mei 2013

Aksi terakhir Kubala, Chrappan



KUBALA (kiri) bakal membuat penampilan terakhir bersama Selangor pada aksi menentang New Radiant SC esok.


PERTEMUAN berdepan kelab Maldives, New Radiant SC pada pusingan kedua Piala AFC 2013 di Stadium Nasional, Galolhu malam esok boleh diibaratkan sebagai aksi terakhir buat dua tonggak import Selangor, Michal Kubala dan Peter Chrappan.

Ini kerana, kontrak kedua- dua awang import dari Slova- kia itu yang bakal tamat pada 28 Jun depan dilaporkan tidak akan disambung Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS).

Jika mendapat kepercayaan jurulatih Gergasi Merah, Irfan Bakti Abu Salim untuk diturunkan malam esok, Kubala dan Chrappan boleh mengucapkan ‘selamat tinggal’ sebaik perlawanan tamat.

“Jika kami berjaya melangkah ke suku akhir (17 dan 24 September), besar kemungkinan kami hanya akan bergantung harap kepada seorang pemain import iaitu Francis Forkey Doe,” kata Irfan baru- baru ini.

Untuk rekod, Kubala dan Chrappan didaftarkan bagi membantu Gergasi Merah mengharungi kempen Piala AFC kali ini yang layak selepas menduduki tangga ketiga Liga Super musim lalu.

Selain Piala AFC, Chrappan juga diserap masuk bagi membantu Selangor mengharungi saingan Liga Super bagi menggantikan Ramez Dayoub yang digugurkan FAS selepas didapati bersalah oleh Persatuan Bola Sepak Lebanon (LFA) atas dakwaan mengatur keputusan perlawanan, Februari lalu.

Bagaimanapun, Chrappan akhirnya diketepikan selepas gagal mempamerkan aksi memberangsangkan, terutamanya ketika ditundukkan Johor Darul Takzim pada suku akhir Piala FA sebelum ini.
Seorang lagi tonggak import Gergasi Merah, Adam Griffiths dari Australia pula tidak layak beraksi dalam kempen Piala AFC apabila hanya menyertai Selangor ketika jendela pendaftaran pemain ditutup pada 22 April lalu. 

Pada kempen kali ini, Selangor melangkah penuh bergaya ke pusingan kedua selepas muncul naib juara Kumpulan H dengan lapan mata apabila memintas pencabar terdekat, Saigon Xuan Thanh dari Vietnam pada saat-saat akhir.

Satu lagi wakil negara, Kelantan yang muncul juara Kumpulan G dengan 13 mata pula bakal melayan kunjungan kelab Hong Kong, Kitchee FC di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu malam ini.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan