Ahad, 5 Mei 2013

Ainul Aishah mengaku 'penat'


HATI sudah tiada pada bidang lakonan. Sekarang ini mahu berniaga sahaja," kata Ainul Aishah, 28, tentang hala tuju kariernya hari ini. Malah pelakon dan penyanyi ini mengakui terlalu ‘penat’ dengan rutin anak seni yang menyebabkan kehidupan hariannya tunggang-langgang.

Tiada masa untuk diri sendiri dan keluarga turut mendorong Ainul membuat keputusan untuk melupakan sebentar dunia lakonan.

Anak kedua daripada empat beradik itu juga tidak sanggup berterusan menanti di set penggambaran dan membiarkan harinya berlalu tanpa makna.

Sementelah sudah bergelar pelakon selama dua tahun, pelakon filem Histeria ini kemudiannya mencari bidang lain demi memastikan masa depannya terjamin. 

Oleh itu pemegang Ijazah Multimedia Kreatif pengkhususan pengiklanan dari Universiti Multimedia (MMU) itu mengambil keputusan untuk menceburi bidang perniagaan.

“Bidang lakonan tidak memberi jaminan masa depan yang kukuh buat pelakon kalau mereka bergantung sepenuhnya. 

“Kita bekerja teruk siang dan malam tapi tidak semua bayaran diterima itu setimpal. Jadi kena buat sesuatu apabila apa yang kita dapat itu tidak berbaloi.

“Sampai bila seseorang pelakon itu perlu bergantung seratus peratus pada sumber pendapatan sebagai pelakon semata-mata. 

“Pelakon juga perlu ada rancangan sebab itu membabitkan masa depan mereka sendiri," katanya yang ditemui pada majlis Kursus Lanjutan Seni Reka Fesyen dan Keusahawanan 2013 di Sepang, Selangor, Selasa lalu.
Ainul turut menafikan dakwaan kononnya dia merajuk dengan sikap segelintir pemain industri yang bermain kotor untuk mendapat tawaran kerja.

Tambahan lagi selepas kehadiran ramai pendatang baru yang berbakat yang sekali gus menenggelamkan namanya.

Ainul berpendapat bahawa semua orang boleh membuat spekulasi negatif terhadap pengunduran seseorang artis dari bidang seni. 

Apa yang penting bagi pemilik nama penuh Ainul Aishah Azizun ini adalah kecekalan hati seseorang untuk berhijrah daripada zon selesa ke satu tahap yang lain.

Meniaga biskut

Nyata langkah Ainul untuk mengubah masa depannya dengan berniaga menunjukkan petanda yang positif.
Jika sebelum ini dia membantu keluarganya membuka cawangan minuman yogurt Tutty Fruity di Bangi, Selangor dan Nilai, Negeri Sembilan, kini Ainul semakin yakin mengorak langkah ke hadapan.

Terkini pelakon drama Begitulah Cinta itu merancang untuk membuka sebuah kafeteria bagi mengembangkan perniagaan berasaskan makanan lain pula.

“Semuanya dalam perancangan. Buat permulaan saya sedang sibuk mempromosikan biskut yang dibuat saya sendiri iaitu Ainul A Cookies. 

“Sebenarnya saya buat biskut untuk suka-suka selepas belajar di YouTube. Tidak sangka pula mendapat sambutan menggalakkan apabila dijual.

“Perniagaan biskut itu adalah permulaan sebelum saya melangkah lebih jauh. Jiwa saya kini serasi pada dunia perniagaan," katanya lagi.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan