AKSI pusingan kedua Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2013
dilihat bakal menjadi medan ‘pemanas badan’ terbaik buat dua wakil
negara, Kelantan dan Selangor.
Ini kerana kedua-dua pasukan bakal membuat perhitungan sesama sendiri
dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, Sabtu
ini.
Esok, Kelantan bakal melayan kunjungan kelab Hong Kong, Kitchee FC di
Kota Bharu manakala Selangor pula berkunjung ke Stadium Nasional,
Maldives berdepan New Radiant SC sehari kemudian.
Jika tewas, mereka sudah boleh mengucapkan ‘selamat tinggal’ kepada
kempen tersebut kerana pusingan kedua diadakan secara kalah mati.
Atas kertas, kedua-dua pasukan dilihat tidak berdepan masalah melepasi pusingan kedua sebelum ini.
Selangor berjaya menempah slot suku akhir pada edisi 2006 manakala
Kelantan dikecewakan kelab Iraq, Arbil SC pada peringkat yang sama musim
lalu.
Justeru, hanya kemenangan pada kempen kali ini sahaja dilihat mampu
menjadi penawar duka buat kedua-dua pasukan yang masih bergelut dalam
kempen liga domestik setakat ini.
Ketika ini, The Red Warriors yang mengutip 23 mata, ketinggalan 11 mata di belakang peneraju Liga Super, Lions XII.
Harapan Gergasi Merah memberikan saingan dalam saingan liga domestik
juga tampak sukar apabila sekadar terikat 1-1 dengan Perak di Stadium
Shah Alam, Jumaat lalu.
Biarpun berdepan misi sukar dalam saingan Liga Super dan Piala AFC,
jurulatih Selangor, Irfan Bakti Abu Salim enggan ‘mengibarkan bendera
putih’ sebelum berjuang.
Kejayaan mereka menyambar slot pusingan kedua Piala AFC 2013 apabila
memintas kelab Vietnam, Saigon Xuan Thanh pada saat-saat akhir juga
mampu menjadi tonik terbaik buat Gergasi Merah ketika berdepan New
Radiant nanti.
“Kami belum mahu menyerah kalah. Ketika ini, kami sukar mengejar
kedudukan tempat kedua Liga Super gara-gara keciciran mata penting di
tempat sendiri.
“Pada masa sama, faktor kepenatan juga jelas memberikan kesan kepada
persembahan pemain ketika saingan peringkat kumpulan Piala AFC sebelum
ini.
“Namun, kami perlu memberikan yang terbaik kerana setiap aksi tetap
menjadi keutamaan kami tidak kira sama ada Liga Super mahupun Piala
AFC,” tegas Irfan baru-baru ini.
Untuk rekod, Selangor muncul naib juara Kumpulan H pada edisi kali
ini apabila mengutip lapan mata manakala Kelantan menjuarai Kumpulan G
dengan 13 mata.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan