Jumaat, 31 Mei 2013

Harimau Muda dirundung duka


HASRAT Harimau Muda mengekalkan momentum kemenangan dilihat tidak kesampaian apabila tewas tipis 0-1 kepada kelab Republik Czech, Sparta Praha di Prague kelmarin.

Biarpun berjaya melakar kemenangan sulung 2-1 terhadap satu lagi kelab Republik Czech, Slavia Praha minggu lalu, skuad kendalian Ong Kim Swee akhirnya terpaksa akur dengan kehebatan Sparta yang turut diperkuatkan dengan pemain simpanan skuad utama kelab itu.

"Perlawanan seimbang apabila terdapat pergerakan positif serta mencipta peluang namun tanpa jaringan, ia akan menentukan antara kemenangan atau kekalahan.

"Tindakan penyudah yang dipersia-siakan menyebabkan kami tewas dengan gol tunggal pasukan lawan pada awal permainan.

"Tiada lagi jalan mudah selain memperbaiki segala kelemahan dengan usaha yang lebih gigih tanpa berputus asa," kata Kim Swee menerusi Twitter peribadinya semalam.

Untuk rekod, ia merupakan kekalahan ketujuh skuad muda negara sepanjang berguru di Eropah selepas mengharungi 10 aksi persahabatan di sana setakat ini.

Selain tumpas 0-3 dan 0-4 kepada dua kelab Hungary, Kaposvari FC dan FGSZ Siofok, mereka juga tewas sebanyak dua kali dalam dua pertemuan dengan kelab Slovakia, MSK Zilina (1-4 dan 2-3) serta dibelasah 1-7 oleh skuad Bawah 21 Tahun (B-21) Georgia.

Selain itu, mereka juga tumpas 0-2 kepada kelab Divisyen Satu Slovakia, Nitra FC baru-baru ini.
Taring Harimau Muda juga tampak tumpul apabila sekadar melakar keputusan seri 1-1 dengan skuad B-19 Slovakia serta terikat tanpa jaringan ketika berdepan skuad B-19 Norway pada aksi persahabtan mereka sebelum ini.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan