MUNGKIN tidak keterlaluan jika dikatakan saingan Piala AFC ini
sebagai penanda aras terhadap kualiti yang dimiliki pasukan dari
Malaysia ini berdasarkan reputasi mereka selaku juara trebel musim lalu.
Biarpun bermula sumbang apabila sekadar melakar keputusan seri 1-1
dengan kelab Maldives, Maziya Sports & Recreation dalam aksi pembuka
tirai kumpulan di Kota Bharu pada 6 Mac lalu, skuad kendalian Bojan
Hodak kembali garang mencetak kemenangan sulung apabila mengatasi
Ayeyawady United 3-1 di tempat lawan seminggu kemudian.
Sejak itu, The Red Warriors dilihat tidak lagi menoleh ke belakang
apabila melakar dua kemenangan berturut-turut ke atas kelab Vietnam, SHB
Da Nang dengan kemenangan bergaya 5-0 (Kota Bharu) dan juga 0-1 di
tempat lawan pada awal April lalu.
Namun, faktor keletihan mula menjejaskan rentak cemerlang Kelantan
apabila dikejutkan dengan kekalahan besar 1-6 ketika bertemu semula
Maziya Sports & Recreation di Stadium Nasional, Maldives pada 23
April lalu.
Dalam perlawanan itu, penjaga gol Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat
dilihat bertungkus-lumus untuk menyelamatkan gawangnya, namun gagal
mengekang ancaman bertubi-tubi jentera serangan tuan rumah biarpun
mereka terlebih dahulu memecah tirai kebuntuan jaringan menerusi Mohd.
Haris Safwan Kamal seawal minit ketujuh.
Enggan menekan butang panik kononnya terdapat krisis dalam skuad
beliau, Hodak sebaliknya menyifatkan aksi hambar anak-anak buahnya dalam
perlawanan itu berpunca daripada faktor keletihan.
Hasilnya, mereka kembali bangkit melakar kemenangan bergaya 3-1 ke
atas Ayeyawady United dalam aksi terakhir kumpulan, sekali gus melangkah
bergaya ke pusingan kedua.
Pada masa sama, kecemerlangan penyerang import pinjaman dari Sydney
FC, Dimitrios Petratos yang telah mencetak empat gol sepanjang kempen
Piala AFC kali ini juga pastinya mengundang perasaan teruja dalam
kalangan peminat fanatik Sang Kijang.
Turut mengiringi Kelantan ke pusingan kedua selaku naib juara
kumpulan ialah SHB Da Nang yang bakal membuat perhitungan dengan juara
Kumpulan E, Semen Padang di Stadium Agus Salim Padang, Indonesia selepas
ini.
KEBANGKITAN DRAMATIK SELANGOR
DALAM pada itu, kemampuan Selangor mara ke pusingan kedua pada kempen
kali ini juga tidak wajar dipandang sebelah mata oleh mana-mana pihak.
Biarpun dilihat tidak diletakkan harapan besar untuk melepasi
peringkat kumpulan kali ini, skuad kendalian Irfan Bakti Abu Salim
membuktikan kredibiliti mereka selaku antara pasukan terbaik negara
apabila melangkah ke pusingan kedua dengan cukup bergaya.
Terpaksa menanti sehingga aksi terakhir peringkat kumpulan sebelum
menewaskan Tampines Rovers 3-2 di Stadium Jalan Besar, Singapura pada 30
April lalu, peminat fanatik Merah Kuning pastinya cukup lega selepas
mengetahui pencabar terdekat, Saigon teruk ‘dikerjakan’ kelab India,
East Bengal dengan keputusan 1-4 dalam satu lagi aksi kumpulan.
Berdepan misi ‘hidup dan mati’, Selangor tampak enggan memikirkan
keputusan antara Saigon dan East Bengal apabila melancarkan serangan
seawal minit pertama perlawanan ketika berdepan Tampines Rovers tempoh
hari.
‘Kuda tua’ Gergasi Merah, Mohd. Amri Yahyah layak dijulang sebagai
wira apabila mencetak dua gol dalam perlawanan itu sementara satu lagi
gol Selangor terhasil menerusi jaringan sendiri tonggak pertahanan
Tampines Rovers, Jufri Taha.
Dengan kejayaan muncul naib juara kumpulan, Selangor begitupun
terpaksa menerima hakikat beraksi di gelanggang lawan ketika berdepan
New Radiant SC pada pusingan kedua nanti.
Turut mengiringi Selangor ke pusingan kedua ialah East Bengal yang
muncul juara kumpulan dengan 14 mata sekali gus bakal melayan kunjungan
naib juara Kumpulan F, Yangon United dari Myanmar di Stadium Vivekananda
Yuba Bharati Krirangan, Kolkata.
Terdahulu, Selangor memulakan kempen kali ini dengan ‘langkah kiri’
setelah tumpas 0-1 kepada East Bengal di Kolkata pada 27 Februari lalu
sebelum sekadar terikat 3-3 dengan Tampines Rovers di Stadium Shah Alam
dua minggu kemudian.
Segala-galanya tampak sukar buat anak-anak buah Irfan bakti ini
apabila tumpas 1-2 kepada Saigon di Ho Chi Minh selepas itu, sekali gus
sekadar mengutip satu mata selepas tiga perlawanan.
Seperti Kelantan, faktor keletihan juga menyelubungi Selangor apabila
terpaksa beraksi tiga perlawanan dalam tempoh seminggu termasuk ketika
dikecewakan Johor Darul Takzim dalam saingan suku akhir Piala FA
baru-baru ini.
Pengendali East Bengal, Trevor James Morgan juga seakan-akan simpati
dengan jadual perlawanan padat yang terpaksa ditempuh Selangor sambil
menyifatkan situasi itu sesuatu yang ‘tidak masuk akal’ berbanding skuad
kendaliannya yang memiliki masa rehat selama sembilan hari sebelum
berdepan Gergasi Merah tempoh hari.
Enggan tewas sebelum berjuang, ‘magis’ yang dimiliki Irfan akhirnya
menjelma selepas Selangor kembali menjinakkan Saigon 3-1 di Shah Alam
tanggal 9 April lalu sebelum mereka berjaya mengikat East Bengal 2-2 di
stadium yang sama selepas itu.
Di sebalik kejayaan Selangor melangkah ke pusingan kedua, mereka
hanya akan bergantung harap kepada sentuhan seorang pemain import,
Francis Forkey Doe dari Liberia jika layak ke suku akhir pada 17 dan 24
September depan kerana tidak berhasrat menyambung kontrak dua lagi
pemain import dari Slovakia, Michel Kubala dan Peter Chrappan yang akan
tamat pada 28 Jun ini.
Seorang lagi tonggak import Gergasi Merah, Adam Griffiths dari
Australia pula tidak layak beraksi dalam kempen Piala AFC apabila hanya
menyertai Selangor ketika jendela pendaftaran pemain Liga M ditutup pada
22 April lalu.
PENCAPAIAN TERBAIK WAKIL NEGARA
UNTUK rekod, sejak kempen Piala AFC diperkenalkan pada 2004, belum
ada mana-mana pasukan negara yang berjaya muncul sebagai empat pasukan
terbaik apabila sekadar terkandas di peringkat suku akhir setakat ini.
Perak merupakan pasukan negara yang paling cemerlang dalam kempen
Piala AFC apabila berjaya menyambar slot suku akhir sebanyak dua kali
sebelum ditewaskan Geylang United dari Singapura menerusi agregat 3-5
(2004) serta tumpas menerusi agregat 0-7 di tangan kelab Lebanon,
Al-Safa pada 2008.
Skrip yang sama juga dikongsi Kelantan dan Selangor yang pernah menjejak pentas suku akhir sebelum ini.
Gergasi Merah dikecewakan kelab Lebanon, Al-Nejmeh menerusi agregat
0-1 pada 2006 sementara Kelantan terpaksa akur dengan kehebatan kelab
Iraq, Arbil SC menerusi agregat 2-6 musim lalu selepas terlebih dahulu
mengecewakan satu lagi wakil negara, Terengganu menerusi agregat 3-2 di
pusingan kedua.
Satu lagi wakil negara yang pernah mara sehingga peringkat suku akhir
ialah pasukan Kedah sebelum ditewaskan Al-Muharraq dari Bahrain
menerusi agregat 1-7 pada edisi 2008.
Justeru, kesemua peminat bola sepak tempatan pastinya mendoakan
kejayaan Kelantan dan Selangor untuk sekurang-kurangnya menjadi semi
finalis pada edisi kali ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan