BARCELONA - Keputusan penjaga gol utama Barcelona, Victor Valdes
enggan menyambung kontrak ada kaitan dengan tekanan yang dihadapinya
sepanjang sedekad lalu.
Ini disahkan sendiri Valdes pada satu sidang akhbar khas semalam bagi mengumumkan tindakannya meninggalkan kelab itu.
"Saya tahu ramai yang tunggu penjelasan saya tentang keputusan ini.
Bersama Barca, saya telah memiliki apa yang saya mahu tetapi sebagai
penjaga gol, saya perlukan cabaran baharu.
"Ada setahun lagi untuk saya bermain. Jadi saya terbuka untuk
menyertai mana-mana kelab yang mahu mencari kepuasan yang sama dengan
saya," katanya pada sidang akhbar yang turut dihadiri Andres Iniesta,
Carles Puyol dan Xavi itu.
Valdes yang dikaitkan dengan tawaran lumayan ke Monaco dijangka
meninggalkan Barca dengan menghadiahkan wang yang banyak hasil
penjualannya ke kelab Perancis itu.
Cara itu dilihat lebih baik daripada Valdes tidak menyumbang apa-apa
dan berpindah secara percuma apabila kontraknya tamat tahun depan.
Valdes, 31, sudah menjadi penjaga gol No. 1 sejak musim 2003-2004 dan
sepanjang tempoh itu, dia membantu Barcelona memenangi enam kejuaraan
La Liga dan tiga kali muncul juara Eropah.
Beliau juga telah memenangi trofi Zamora sebanyak lima kali sebagai
penjaga gawang yang melepaskan gol paling sedikit dalam satu musim. -
Reuters
Tiada ulasan:
Catat Ulasan