Ahad, 19 Mei 2013

Tangisan Beckham


David Beckham dijulang rakan-rakan sepasukan selepas membuat penampilan terakhir bersama Paris St Germain di Stadium Parc des Princes, Paris, semalam. - AFP 
 
PARIS - David Beckham memeluk rakan-rakan sepasukan dengan air mata bergenang ketika meninggalkan padang dalam perlawanan terakhirnya bersama Paris Saint Germain (PSG) di tempat sendiri, semalam. 

Ikon bola sepak England itu kelihatan cukup beremosi apabila dikerumuni rakan-rakan sepasukan sebaik sahaja jurulatih, Carlo Ancelotti mengarahkannya keluar padang pada minit ke-81 sewaktu PSG menumpaskan Brest 3-1. Ini adalah perlawanan terakhir Beckham sebelum bersara daripada bola sepak. 

Penjaga gol, Salvatore Sirigu berlari keluar untuk mengucapkan tahniah kepada bekas kapten England itu, sementara pemain sayap Brazil, Lucas melakukan tunduk hormat.

Penyokong, termasuk bekas Presiden Perancis, Nicolas Sarkozy berdiri sebagai tanda penghormatan buat Beckham, yang melambai tangan sebelum digantikan dengan Ezequiel Lavezzi.

"Saya mahu mengucapkan terima kasih kepada semua orang di Paris.
"Kepada rakan-rakan sepasukan saya, kakitangan dan juga para penyokong. 

"Sesuatu yang amat istimewa dapat mengakhiri karier saya di sini. Tiada yang lebih istimewa melainkan di sini," kata Beckham kepada penyokong selepas perlawanan tamat.
Dengan PSG yang telah pun merangkul gelaran Liga Perancis, Beckham Khamis lalu mengumumkan bahawa dia akan bersara sebaik musim ini berakhir.

Pemain itu masih belum menyatakan sama ada dia berhasrat untuk bermain dalam perlawanan terakhir PSG yang akan berlangsung di tempat lawan, menentang Lorient pada 26 Mei ini.

"Saya cuma berasakan sekarang adalah masa yang tepat. Saya sudah mencapai segala-galanya dalam karier. Saya mahu meninggalkan sukan bola sepak sebagai juara.

"Saya menamatkan karier saya bersama sebuah pasukan yang melayan saya seolah-olah saya telah berada di sini selama 10 tahun," kata pemain berusia 38 tahun itu lagi. 

Sementara itu Ancelotti mengakui, Beckham mungkin tidak akan beraksi dalam perlawanan terakhir PSG menentang Lorient nanti.
"Dia akan menyertai rakan-rakan sepasukan ke sana tetapi dia mungkin tidak bermain," katanya. - AGENSI

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan