AMUKAN Angkatan Tentera Malaysia (ATM) semakin menjadi-jadi.
Biarpun turun tanpa penggempur berbisa mereka, Marlon Alex James,
skuad kendalian B. Sathianathan itu tetap berjaya meraih kemenangan ke
atas Felda United pada perlawanan Liga Super di Stadium Majlis
Perbandaran Petaling Jaya semalam.
Pada perlawanan tersebut ATM menang tipis 1-0 hasil jaringan penyerang veteran, Hairuddin Omar.
"Saya puas hati dengan kemenangan ini. Kami turun tanpa Marlon, namun
barisan pemain yang ada tetap mampu menggalas tugas dengan baik," kata
Sathianathan.
Dengan kemenangan tersebut, ATM kini terus gagah menghimpit pendahulu liga setakat ini, Lions XII.
Menurut Sathianathan, kejayaan itu turut membuktikan bahawa ATM tidak
terlalu menyandarkan harapan kepada Marlon untuk menggegar gawang lawan
dan semua pemain nampaknya mampu menggalas tugas tersebut.
Tambah Sathianathan, beliau tidak mahu memberikan tekanan kepada
skuad kendaliannya biarpun muncul sebagai pencabar utama kepada wakil
Singapura untuk menjuarai liga pada musim ini.
Untuk rekod, The Gladiators yang mengutip 33 mata setakat ini, menduduki tangga kedua liga dan dipisahkan satu mata dengan Lions XII (34 mata).
Sementara itu, jurulatih Felda United, K. Devan menegaskan, kekalahan
pasukannya berpunca daripada gol awal selain gagal menguasai permainan
sepanjang perlawanan tersebut.
Jelas Devan, pemainnya gagal mengulangi prestasi cemerlang seperti mana yang dibuktikan ketika menewaskan Perak pada 3 Mei lalu.
"ATM begitu berdisiplin dan saya berpendapat, kami kurang bertenaga
jika dibandingkan dengan aksi menentang Perak di laman sendiri,
baru-baru ini.
"Saya menjangkakan perlawanan ini berkesudahan seri kerana kami
memiliki kelebihan beraksi di tempat sendiri, tetapi sebaliknya berlaku.
Saya berharap para pemain terus bekerja keras untuk memperbaiki segala
kelemahan yang ada," kata Devan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan