Ahad, 19 Mei 2013

ATM gagal pintas Lions


HAIRUDDIN Omar (depan) berjaya meloloskan diri daripada kawalan pemain pertahanan Negeri Sembilan ketika aksi Liga Super di Paroi malam tadi, Pada perlawanan tersebut Negeri Sembilan menewaskan ATM 2-1.


HASRAT Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk memintas kedudukan Lions XII selaku pendahulu Liga Super tidak kesampaian apabila tewas mengejut kepada Negeri Sembilan di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi semalam.

Kekalahan itu sekali gus menyaksikan The Gladiators kekal di tangga kedua liga, dipisah dengan perbezaan dua mata oleh Lions XII.

Pada aksi semalam, skuad kendalian B. Sathianathan terlebih dahulu dihukum menerusi gol pantas Hoben Jang Hoben jaringan Mohd. Fauzi Nan pada minit kedua.

Begitupun, kapten ATM, Hairuddin Omar menyamakan kedudukan pada minit ke-14, namun kelebihan itu sekadar bertahan selama enam minit apabila Mohd. Nazrin Mohd. Nawi kembali meletakkan Negeri Sembilan di depan menerusi sepakan percuma pada minit ke-20.

The Gladiators yang terdesak untuk mencari gol penyamaan, terus bekerja keras mengasak gawang namun usaha mereka terus menemui kebuntuan.

Kedudukan kekal sehingga tamat perlawanan dengan kemenangan memihak kepada Negeri Sembilan.
Ia merupakan kemenangan pertama Hoben Jang Hoben dalam saingan liga musim ini. 

Sementara itu, Selangor PKNS berpesta gol apabila menewaskan Felda United 5-0 pada aksi yang berlangsung di Stadium Shah Alam.

PKNS terlebih dahulu membuka jaringan menerusi Mohd. Fauzan Dzulkifli pada minit ke-33 sebelum menggandakan kedudukan hasil jaringan Muhd. Khairu Azrin Khazali (45).

Skuad Abdul Rahman Ibrahim terus menghukum kerapuhan benteng pertahanan Felda apabila penyerang import PKNS, Patrick Ronaldinho Wleh meledak gol ketiga PKNS pada minit ke-50.

Perancang import PKNS, Roman Chmelo terus menambah derita pasukan pelawat dengan menambah gol keempat sebelum penyerang, Mohd. Nizad Ayub melengkapkan kemenangan bergaya itu dengan jaringan kelima pada masa kecederaan.

Di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV Kota Bharu, Kelantan kempunan meraih tiga mata apabila sekadar mencatatkan keputusan seri 1-1 dengan Selangor.

Meskipun beraksi di Kota Bharu, pasukan pelawat lebih banyak mendominasi permainan dan hampir membuka tirai jaringan menerusi penggempur berbisanya, Francis Forkey Doe seawal minit ketujuh namun dibatalkan pengadil selepas pemain tersebut berada dalam kedudukan offsaid.

Penguasaan Selangor berterusan pada minit ke-12 menerusi gerakan menarik Forkey Doe yang berjaya memperdayakan benteng pertahanan tuan rumah, namun rembatannya dinafikan ketangkasan penjaga gol Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat.

Selangor akhirnya memperoleh gol pertamanya pada minit ke-55 menerusi pemain import, Adam Davids yang berjaya menanduk kemas hantaran pemain gantian, Raimi Mat Nor.

Pada minit ke-66, pemain gantian Kelantan Zairol Anuar Zailani menceriakan pasukan tuan rumah apabila menjaringkan gol penyamaan bagi membolehkan kedua-dua pasukan berkongsi satu mata selepas kedudukan 1-1 kekal sehingga tamat perlawanan.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan