Selasa, 7 Mei 2013

TM tekan Lions XII


KAPTEN ATM, Hairuddin Omar (tengah) diasak dua pemain Johor DT pada aksi Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Negeri Sembilan malam tadi


PENYERANG Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Marlon Alex James meletakkan skuad The Gladiators di landasan tepat bagi memburu trofi Liga Super musim ini.

Marlon meledakkan dua gol pada minit ke-55 dan 64 untuk membantu ATM menewaskan Johor Darul Takzim (Johor DT) 2-0 di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi malam tadi.

Kemenangan tersebut membolehkan skuad kendalian B. Sathianathan itu memberikan tekanan kepada pendahulu liga, Lions XII yang memiliki kelebihan satu mata berbanding skuad
The Gladiators.

Begitupun, Lions XII yang menewaskan Terengganu 2-1 pada perlawanan petang semalam mengutip 30 mata tetapi kurang satu perlawanan berbanding ATM.
Sementara itu, di Stadium Darul Makmur, Kuantan, impian Pahang untuk mengatasi ‘badi’ terhadap Selangor tidak kesampaian apabila sekadar seri 2-2.

Pada aksi itu, skuad Gergasi Merah membuka jaringan menerusi penyerang import, Francis Forkey Doe seawal minit ketiga namun pasukan tuan rumah kembali menyamakan kedudukan hasil jaringan R. Surendran pada minit ke-39.

Selangor sekali lagi memberikan tekanan kepada Tok Gajah apabila Forkey Doe menjaringkan gol kedua buat pasukan pelawat namun Surendran memastikan Pahang berkongsi satu mata dengan juara 32 kali Piala Malaysia itu apabila meledakkan gol kedua pada masa kecederaan babak kedua.

Di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, Kelantan menggunakan kelebihan beraksi di laman sendiri untuk meraih tiga mata berharga dengan menewaskan Felda United 3-0.

Pada aksi tersebut, Indra Putra Mahayuddin muncul sebagai wira skuad The Red Warriors apabila menjaringkan dua gol pada minit ke-32 dan 35.

Kapten Kelantan, Mohd. Badhri Mohd. Radzi melengkapkan kemenangan bergaya pasukan tuan rumah apabila meledakkan gol ketiga pada masa kecederaan.

Di Stadium Perak, Ipoh, Paulo Rangel kembali mengulangi sentuhan cemerlang apabila meledakkan dua gol untuk membantu Perak menewaskan Negeri Sembilan 2-1.

Pemain kelahiran Brazil itu menghukum kerapuhan benteng pertahanan skuad Hoben Jang Hoben dengan menjaringkan dua gol pada minit ke-21 dan 60.

Gol sagu hati Negeri Sembilan dijaringkan oleh Mohd. Nazrin Mohd. Nawi pada masa kecederaan babak kedua dan kekalahan itu menyebabkan Hoben Jang Hoben kekal di tangga tercorot liga.
Dalam satu lagi perlawanan PKNS menewaskan T-Team 2-1.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan