Jumaat, 31 Mei 2013

Taktik Hodgson dikritik



LONG (atas) memberi aksi terbaik termasuk menjaringkan gol ketika membantu Ireland seri 1-1 dengan England.


LONDON - Jurulatih England, Roy Hodgson tetap mempertahankan taktiknya biarpun menyaksikan skuadnya diikat 1-1 oleh Republik Ireland pada aksi persahabatan di Stadium Wembley awal pagi semalam.

Ireland seharusnya berterima kasih kepada penjaga gol mereka, David Forde yang menyelamatkan beberapa percubaan berbahaya Alex Oxlade-Chamberlain dan Theo Walcott pada masa kecederaan dalam usaha England mencari gol kemenangan.

Meskipun England lebih banyak mendominasi permainan pada babak kedua, namun tidak banyak peluang dicipta oleh jentera serangan mereka yang diketuai oleh Wayne Rooney.

Persembahan itu menerima kritikan hebat daripada bekas penyerang England, Gary Lineker yang menempelak bahawa taktik 4-4-2 yang digunakan England sudah ketinggalan zaman.
Begitupun, Hodgson menjelaskan kritikan seperti itu tidak akan banyak membantu skuad The Three Lions.

"Kamu kata ia taktik 4-4-2? Adakah Rooney seorang pemain tengah yang bermain di belakang seorang pemain penyerang? Atau dia tidak bermain di posisi sebenarnya?
"Saya rasa terlalu banyak perbincangan tentang sistem yang kami gunakan. Kami masih mencari sistem yang sesuai.

"Setakat yang saya lihat, Bayern Munich dan Borussia Dortmund (finalis Liga Juara-Juara) juga menggunakan sistem 4-4-2, sama seperti kami.

"Apa yang penting ialah kami memiliki pemain yang boleh menyerang dan mampu bertahan. Saya rasa malam ini kami berjaya melakukannya," katanya.

Pada aksi semalam, Ireland membuka jaringan menerusi tandukan Shane Long pada minit ke-13 sebelum Frank Lampard menyamakan kedudukan 10 minit kemudian hasil hantaran Daniel Sturridge.
Sturridge bagaimanapun terpaksa diusung keluar ekoran cedera buku lali dan hampir pasti tidak dapat diturunkan apabila bertemu Brazil bulan depan. - AFP

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan