|
JOHOR Darul Takzim (Johor DT) mengamuk di Stadium Tan Sri Datuk Hassan Yunos, Larkin malam tadi.
Skuad kendalian Fandi Ahmad itu bangkit garang untuk mencatat
kemenangan bergaya 3-1 ke atas Selangor PKNS pada aksi Liga Super,
sekali gus meraih tiga mata berharga.
Selepas mengharungi 16 perlawanan, Johor DT kekal di tangga ketiga
liga dengan mengumpul 28 mata di belakang pendahulu Lions XII dan ATM di
tangga kedua liga.
Kemenangan tersebut juga merupakan kemenangan ke sembilan pasukan
Johor DT dan setakat ini masih mengekalkan rekod tanpa kalah di
gelanggang sendiri.
Pada perlawanan malam tadi, George Nunez meledak gol pembukaan Johor
DT pada minit ke-29 selepas bijak menyudahkan hantaran silang Nurul
Azwan Roya sebelum Norshahrul Idlan Talaha menjadikan kedudukan 2-0 pada
minit ke-42.
Bersambung babak kedua, tuan rumah dilihat agak hilang fokus sehingga
membenarkan PKNS menjaringkan gol pada minit ke-50 menerusi Patrick
Ronaldinho untuk menjadikan kedudukan 2-1.
Begitu pun, Johor DT tidak rela diratah dan mereka turs menggandakan
asakan sehingga berjaya memperoleh gol ketiga menerusi Nurul Azwan pada
minit ke-85 yang bijak menyudahkan hantaran pemain gantian, Mohd. Safee
Sali.
Safee hampir menambah derita PKNS menerusi percubaannya pada minit-minit terakhir perlawanan, tetapi tidak menemui sasaran.
Kedudukan 3-1 kekal sehingga tamat perlawanan.
Sementara itu, Lions XII terus mengukuhkan cengkaman di puncak liga
selepas menundukkan T-Team 3-0 pada aksi yang berlangsung di Stadium
Jalan Besar, Singapura.
Kemenangan itu turut menyaksikan wakil Singapura itu berjaya mengekalkan rekod tanpa kalah di laman sendiri sepanjang musim ini.
Kemenangan Lions itu disumbangkan kapten, Shahril Ishak yang meledak
gol pembukaan pada minit ke-10, diikuti Muhammad Shakir Hamzah (m-29)
dan Fazrul Nawaz Shahul Hameed pada minit-minit terakhir perlawanan.
Untuk rekod, Lions XII yang kekurangan satu perlawanan, kekal selaku
pendahulu Liga Super dengan 34 mata, satu mata mengatasi pencabar
terdekat, Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Lions XII bakal bertandang ke Stadium Darul Makmur, Kuantan sementara
T-Team menantikan kunjungan Johor Darul Takzim (Johor DT) di Stadium
Sultan Ismail Nasiruddin Shah Jumaat depan
Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my
Tiada ulasan:
Catat Ulasan