Ahad, 5 Mei 2013

Sarawak menang, Alberts berang



ZAMBRI Morshidi (kiri) tampil cemerlang untuk merencanakan rentak permainan Sarawak ketika menewaskan KL SPA 2-1 di Kuching malam kelmarin.


KETUA jurulatih Sarawak, Robert Alberts berang dengan aksi longlai skuad kendaliannya meskipun bangkit selepas ketinggalan satu gol untuk meraih kemenangan 2-1 ke atas KL SPA di Stadium Negeri, Petra Jaya kelmarin.

Menurut Alberts, kegagalan dan kealpaan bahagian pertahanan dan tengah pada awal permainan telah membuka banyak ruang kepada pasukan lawan. 

Hasilnya skuad bimbingan Mohd. Shah Alias itu berjaya memperoleh gol pendahuluan.
“Aksi pemain Sarawak agak longlai pada separuh masa pertama di semua bahagian sehingga menyebabkan pihak lawan mudah menguasai permainan. 

“Saya akui, gaya permainan pasukan Sarawak pada separuh masa pertama memang agak mengecewakan.
“Hanya pada separuh masa kedua baru nampak pemain-pemain saya mula bermain agresif dan memperkemaskan corak serangan.

“Hasilnya, mereka berjaya mencipta jaringan penyamaan dan seterusnya gol kemenangan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas tamat perlawanan malam kelmarin.

Bagaimanapun, Alberts memuji barisan pemain tengah yang bijak mengawal bola dengan baik walaupun terus diasak pemain lawan.

“Begitu juga pemain-pemain lain yang dapat mengimbangi corak permainan walaupun agak goyah pada separuh masa pertama. Satu persembahan yang baik, kita dapat kuasai semula permainan dan berjaya mengurangkan kesilapan.

“Walaupun saya menjangkakan kita mampu menjaringkan lebih banyak gol tetapi saya berpuas hati dengan kejayaan meraih tiga mata penuh pada perlawanan ini (kelmarin),” katanya. 

Pada perlawanan tersebut, jaringan Guy Bwele serta Booby Gonzalez pada minit ke-57 dan ke-70 membolehkan Sarawak kekal di tangga kedua Liga Premier dengan mengumpul 37 mata, dua mata di belakang pendahulu, Sime Darby.

Gol KL SPA dijaringkan pemain import mereka, Joel Armel Tchami Ngalaha pada minit ke-43.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan