LONDON – Manchester City mahu mengalihkan tumpuan peminat bola sepak
England yang dikejutkan dengan berita persaraan pengurus Manchester
United, Alex Ferguson apabila menewaskan Wigan Athletic pada final Piala
FA awal pagi esok.
Kemenangan di Stadium Wembley itu bakal menghadiahkan gelaran utama
ketiga buat anak-anak buah Roberto Mancini dalam tempoh tiga tahun,
sekali gus mengubati kegagalan mempertahankan trofi Liga Perdana England
dan tersingkir awal pada kempen Liga Juara-Juara musim ini.
Para penyokong City mahu menjejaskan minggu perpisahan Ferguson
bersama skuad The Red Devils dengan mengulangi kejayaan memenangi trofi
Piala FA 2011.
Pemain tengah City, Yaya Toure berkata, ketiadaan Ferguson membuka
peluang kepada skuad The Citizens untuk mendominasi saingan liga musim
depan.
“Ia akan membawa satu perubahan yang besar.
“Beliau (Ferguson) seorang lelaki yang baik dan pengurus yang hebat. Saya harap dia terus kekal dalam bola sepak.
“Beliau telah merekodkan pencapaian yang menakjubkan bersama kelab itu.
“Bagi kami, ketiadaan Ferguson akan menjadi sesuatu yang penting. Ia
memberi gambaran bahawa City akan mendominasi Liga Perdana England. Itu
yang saya harapkan,” kata Toure.
Sementara itu, Wigan akan menghadapi aksi final ini dalam situasi
tertekan kerana ketika ini mereka masih bergelut dalam zon penyingkiran.
Kekalahan 2-3 kepada Swansea City Selasa lalu menyebabkan Wigan kekal
di tangga ketiga tercorot dan berdepan prospek turut mengikut jejak
langkah Reading serta Queens Park Rangers ke Kejuaraan Liga musim depan.
Wigan yang mengumpul 35 mata ketika saingan liga hanya berbaki dua
perlawanan ketinggalan tiga mata di belakang Sunderland, Norwich City
dan Newcastle United yang berkongsi 38 mata.
“Saya rasa dalam bola sepak, apabila anda bermain dalam situasi
tertekan, kadang-kadang anda akan membuat keputusan yang salah,” kata
pengurus Wigan, Roberto Martinez. – AFP
Tiada ulasan:
Catat Ulasan