MANCHESTER - Pengendali Manchester United, Alex Ferguson mengutuk
tindakan pemain pertahanan Chelsea dari Brazil, David Luiz yang
'berlakon' seperti 'angsa terbang' dalam aksi Liga Perdana England di
Old Trafford kelmarin.
Tindakan Luiz itu juga telah mengakibatkan rakan senegaranya yang
juga pertahanan kanan United, Rafael da Silva dibuang padang dalam
pertemuan yang memihak kepada Chelsea 1-0 mengatasi juara Liga Perdana
England itu.
Kekalahan tipis United hasil jaringan sendiri Phil Jones itu
bagaimanapun tidak memberi apa-apa kesan kepada mereka namun bagi
Chelsea, kemenangan itu sangat bermakna kerana mencerahkan peluang
mereka menamatkan saingan Liga Perdana musim ini dalam kelompok empat
teratas serta layak ke Liga Juara-Juara musim depan.
Chelsea wajib menang ke atas Tottenham Hotspur di Stamford Bridge esok untuk berada dalam kelompok empat teratas liga.
Dalam pada itu, menurut Ferguson, beliau tidak kesal mereka tewas
dalam perlawanan itu tetapi dia sangat kecewa dengan tindakan Rafael
yang dibuang padang.
Provokasi yang dicetus Luiz itu telah mengakibatkan pengadil, Howard Webb menghukum Rafael.
Luiz bertindak membentes buku lali Rafael terlebih dahulu dan sebelum
itu Luiz juga dilihat menyiku Rafael sebanyak dua kali dan apabila
Rafael bertindak balas dia berpura-pura jatuh.
"Selepas Rafael dilayangkan kad merah, Luiz dilihat tersenyum puas.
Perbuatan itu sangat terkutuk. Dia langsung tidak profesional.
"Pengadil ternyata telah terpengaruh apabila melihat Luiz tergolek
berpura-pura kesakitan. Tetapi tindakan pengadil menghukum Rafael
merupakan tindakan meragukan," jelas Ferguson.
Menurut Ferguson, apabila seseorang pemain itu bertindak balas dia pasti dihukum.
"Namun, Luiz yang memulakan tindakan tersebut dengan menyiku Rafael
sebanyak dua kali dan Luiz juga wajar menerima hukuman yang sama. Ia
jelas," kata Ferguson.
Kemenangan kontroversi itu bagaimanapun telah memberi kejayaan sangat
bermakna buat Chelsea di gelanggang keramat pihak lawan namun pengurus
Chelsea, Rafael Benitez enggan melancarkan perang mulut dengan rakan
sejawatannya di United. - AFP
Tiada ulasan:
Catat Ulasan