|
SAAT pesawat yang dinaikinya membelah awan pada 11 April lalu, saat
itu juga hatinya tidak henti berbisik, seperti masih bersisa sedikit
kecelaruan. Masih ada keraguan berlegar-legar mencari jawapan.
Akhirnya, permainan perasaan itu dapat dipintas oleh akal yang
rasional. Keputusan Alyah muktamad, dia mahu kekal menutup aurat selepas
pulang dari menunaikan umrah di Mekah.
Kematangan terzahir daripada buah fikirnya dan bicara penyanyi
berusia 32 tahun menunduk bagai padi yang sedang menguning. Berkilauan
keemasan namun dipandang dari dekat, tangkainya menunduk ke bumi.
Alyah tetap bimbang kalau-kalau perkongsian demi perkongsian yang
terluah daripada bibirnya disalah faham, dia bimbang takut-takut dilihat
mengundang riak pada pandangan orang.
"Saya takut juga kalau cerita-cerita tentang perubahan saya ini
membuatkan orang lain kurang senang. Saya cuma bercerita tentang saya,
apa yang saya lalui, untuk penilaian saya sendiri juga," getusnya sambil
membetul-betulkan tudung yang dililit kemas di kepala.
Bulat hati Alyah untuk menjalani kehidupan dan kariernya sebagai
seorang wanita berhijab berlaku sekembalinya daripada mengerjakan umrah
buat kali kedua. Alyah tidak mahu membohongi diri, dia sendiri dihimpit
banyak persoalan sebelum memutuskan untuk berubah imej.
Masih gila-gila
"Syukur Alhamdulillah, Dia memberikan jawapan kepada setiap persoalan
yang muncul. Tipulah kalau saya tidak berasa risau tentang kekangan dan
cabaran yang harus saya lalui selepas berimej muslimah begini. Saya pun
sudah banyak mendengar kisah-kisah selebriti lain yang terlebih dulu
bertudung sebelum saya.
"Ada artis bertudung setelah berada di kedudukan sukses yang tidak
mampu digugat oleh sesiapa, ada artis yang bertudung tetapi diuruskan
oleh keluarga. Tapi saya, saya sendiri yang menentukan hala tuju saya.
|
"Dalam penerbangan balik pun saya masih terfikir hal itu, saya
berfikir sampai terbawa-bawa ke dalam tidur. Saya bermimpi duduk di
hadapan sungai, melihat yang mengalir tanpa henti. Bila saya bangun,
saya terfikir lagi bahawa saya bukannya mahu melakukan sesuatu yang
tidak baik.
"Saya reda, jika tiada peluang untuk saya lagi selepas ini, saya
tetap bahagia dengan kehidupan yang datang. Semua ini tidak boleh dibeli
dengan wang ringgit," bicaranya tersusun menggambarkan ketenangan hidup
yang sedang dirahmati.
Akui Alyah juga, biarpun masih membawa sifat gila-gila, adakalanya
dia sensitif dan mudah kelam-kabut, namun perubahan imej itu turut
membentuk satu lingkaran yang mendamaikan.
"Saya dapat rasakan sendiri. Sekarang, sibuk macam mana sekalipun,
saya masih boleh rasa sedikit rileks, dahulu cepat sahaja nak gabra,"
katanya ketawa.
Belum fikir soal kahwin
Membawa penyanyi lagu Kisah Hati ke perbualan yang bersifat privasi.
Sebagai wanita pelengkapnya adalah lelaki tetapi Alyah masih enggan
mengakui hubungan istimewanya dengan pengarah muzik terkenal, Datuk
Ramli MS.
"Okey. Sebelum memikirkan alam berumah tangga, saya mahu mengukuhkan
ekonomi dulu. Walaupun orang mungkin nampak macam saya sudah ada tempat
dalam industri ini, tapi saya masih ada impian lain. Saya juga mahu
muncul dengan sebuah konsert, paling tidak pun ada mini showcase
sendiri.
"Impian saya membelikan rumah untuk ibu belum tertunai. Sekarang
masih ada banyak proses kena lalui. Perancangan kahwin itu biarlah dulu,
saya serahkan semuanya kepada Yang Maha Berkuasa," katanya sambil
mengakui tidak mudah puas hati dengan pencapaian yang telah diraih
setakat ini.
|
Dua belas tahun dalam industri, separuh daripada tempoh itu dia
merangkak untuk dikenali dan separuh lagi barulah namanya wangi di taman
seni, akui Alyah lagi, perjalanannya sebagai penyanyi masih terlalu
panjang.
"Sekarang saya sedang mengumpul semula material untuk album yang
tertangguh sekian lama. Saya dalam proses untuk menghimpunkan semula
semua single yang dikeluarkan sebelum ini. Sepatutnya album itu telah
disiapkan tahun lepas, tapi beberapa masalah teknikal menyebabkan ia
tertangguh," jelas Alyah yang kini selesa menggunakan khidmat Syuib
Ismail sebagai pengurus peribadinya.
Menghasilkan album kompilasi bawah terbitan syarikatnya sendiri Like
Music Sdn. Bhd., Alyah merancang album yang mengandungi tujuh buah lagu
termasuklah Realiti Dewi, Kau Bisu, Pesananmu, Lena Sahara, Kisah Hati,
Kau Yang Terindah dan Permata boleh dilancarkan selewat-lewatnya Ogos
nanti.
Kini rancak mempromosi single terbaharu, Permata nyanyian bersama
Ben, penyanyi kanak-kanak yang menyerlah daripada program Bintang Idola,
kata Alyah: "Sesuatu yang baharu juga berlaku kepada saya. Jika selama
ini kelompok peminat yang meminati saya terdiri daripada peminat remaja
hingga dewasa, sekarang saya sudah ada peminat daripada kalangan
kanak-kanak. Perbezaan ketara setiap kali ada undangan persembahan."
Fesyen muslimah
Umpama sebuah kisah baharu, Alyah yang dahulunya popular atas
percubaan-percubaan berani dari segi fesyen dan solekan itu tampil
anggun dalam gaya muslimah yang tersendiri. Fesyen dan stail unik masih
sebati dengan dirinya.
"Tapi saya tidak boleh menjadi terlalu simple. Berada dalam bisnes
ini saya kena hadir dengan perancangan. Penampilan sangat penting dan
saya masih dalam pembelajaran," katanya.
Sebagai selebriti, Alyah juga tidak mungkin dapat memadamkan ingatan
dan gambar-gambar lama yang pernah membangkitkan perasaan kurang senang
sesetengah peminat.
"Saya tak boleh paksa pihak lain supaya memadamkan gambar-gambar lama
saya. Itulah hakikat sejarah Alyah hari ini. Perubahan yang saya lalui
ini juga belum lagi secara total, cuma penampilan dan gaya sahaja.
Secara peribadinya, saya masih Alyah yang dahulu," jelas Alyah turut
berkira-kira mahu mengambil kelas vokal bagi memantapkan lagi skil
nyanyiannya.
Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my
Tiada ulasan:
Catat Ulasan