MADRID - Barcelona mengesahkan status sebagai juara Liga Sepanyol
buat kali keempat dalam tempoh lima tahun apabila pencabar terdekatnya,
Real Madrid sekadar seri 1-1 dengan Espanyol awal pagi semalam.
Dengan keputusan itu, The Catalan yang berjaya mendakap trofi
Liga Sepanyol buat kali ke-22 tidak perlu menunggu sebarang keputusan
ketika berdepan Atletico Madrid awal pagi tadi.
Dalam aksi semalam, Espanyol dilihat memanfaatkan peluang apabila pengendali The Galacticos,
Jose Mourin- ho hanya menurunkan skuad kedua menjelang pertemuan
berdepan Atletico dalam final Piala Raja Sepanyol hujung minggu ini.
Hasilnya, mereka berjaya mendahului menerusi jaringan pembukaan
Christian Stuani pada minit ke-22 sebelum Gonzalo Higuain menyamakan
kedudukan buat Real sebelum rehat babak pertama.
"Tiada lagi yang boleh dilakukan selain mengucapkan tahniah kepada
Barcelona. Saingan liga memerlukan aksi yang konsisten dan kami gagal
melakukannya pada permulaan musim.
"Kini, kami mengalihkan tumpuan pada final Piala Raja Sepanyol dan
mahu memastikan trofi berada dalam genggaman kami," kata perancang
tengah Real, Xabi Alonso.
Dalam pada itu, Presiden Barcelona, Sandro Rosell menerusi Twitternya memberitahu: "Ia kejayaan yang cukup bermakna buat kami.
"Kejayaan ini merupakan penghargaan buat semua pihak yang berusaha keras menjadikannya satu realiti." - AFP
Tiada ulasan:
Catat Ulasan